GAZA, 21 Oktober - Israel menasihatkan rakyatnya untuk segera meninggalkan Mesir dan Jordan secepat mungkin susulan ketegangan yang semakin memuncak di Gaza.
Memetik laporan Al-Jazeera, Majlis Keselamatan Israel turut memberi amaran kepada rakyatnya untuk mengelak daripada tinggal di negara Arab lain termasuk Turkiye, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain.
Ini termasuk untuk tidak melakukan perjalanan ke Malaysia, Bangladesh, Indonesia dan Maldives.
Media tempatan berkata amaran itu dikeluarkan kerana kebimbangan sekiranya pelancong Isreal menjadi sasaran kemarahan rakyat susulan konflik Israel-Hamas pada 7 Oktober lalu.
"Majlis Keselamatan Negara Israel memberikan amaran perjalanan ke Mesir (termasuk Sinai) dan Jordan dengan tahap amaran ke tahap 4 (ancaman tinggi): cadangan untuk tidak pergi ke negara-negara ini dan bagi mereka yang tinggal di sana untuk meninggalkan ... secepat mungkin," kata Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Ia juga meningkatkan tahap ancaman Maghribi kepada "3" dan menasihatkan Israel untuk mengelakkan perjalanan sekiranya yang tidak penting.
Notis itu dikeluarkan hanya beberapa hari selepas Israel memanggil pulang diplomatnya dari Turkiye sebagai langkah berjaga-jaga untuk keselamatan.
Sejak serangan tanpa henti oleh rejim zionis Israel ke atas Gaza pada 7 Oktober lalu telah memberi kesan global apabila pro-palestin mengadakan perhimpunan besar-besaran di seluruh dunia.
Tindakan itu menyatakan bantahan terhadap kekejaman Israel kepada penduduk Palestin.
Mereka yang menyertai perhimpunan kelihatan memegang poster 'Bebas Palestin', mengibarkan bendera Palestin dan menyeru memboikot Israel.