fb fb fb fb fb

Israel dihadapkan ke ICJ Khamis ini

Foto fail/AFP

THE HAGUE, 9 Januari- Israel akan dihadapkan ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Khamis ini, selepas didakwa melakukan tindakan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

Dalam penghujahan setebal 84 muka surat kepada ICJ, Afrika Selatan menggesa hakim memerintahkan Israel menggantung serta-merta "operasi ketenteraan" di Gaza.

Afrika Selatan berkata bahawa Israel terlibat secara berterusan dalam tindakan genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Bagaimanapun, Israel menyangkal dakwaan tersebut, selepas jurucakap kerajaan Eylon Levy berikrar untuk menolak hujah Afrika Selatan yang disifatkannya sebagai tidak masuk akal.

Pegawai tertinggi dari kedua-dua negara akan bersemuka di Dewan Keadilan Besar ICJ yang terletak di The Hague.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas, pengeboman Israel telah membunuh lebih 22,000 rakyat Palestin.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan 1.9 juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal, dengan kebimbangan semakin meningkat terhadap risiko kebuluran dan penyakit.

Walaupun ICJ boleh memutuskan mengenai pertikaian antara negeri, keputusannya mengikat di sisi undang-undang kerana mempunyai kuasa terhad untuk menguatkuasakannya.

Mahkamah secara teorinya, boleh memerintahkan Israel untuk menghentikan pencerobohannya, namun wujud keraguan sama ada ia akan dipatuhi.

Pada Mac 2022, ICJ mengarahkan Rusia untuk menangguhkan serta-merta pencerobohannya ke atas Ukraine, namun arahan itu diabaikan Moscow.

Sementara itu, menurut Peguam yang juga Pakar Keadilan Antarabangsa, Johann Soufi akan wujud "impak simbolik yang amat ketara", jika mahkamah memutuskan sebarang keputusan terhadap Israel.

"Sudah tentu ada masalah untuk melaksanakan keputusan itu. Tetapi akhirnya keadilan antarabangsa sahaja yang tinggal," kata Soufi, yang berkhidmat dengan agensi PBB untuk pelarian Palestin di Gaza.

Afrika Selatan telah memfailkan kes terhadap Israel kerana kedua-dua negara telah menandatangani Konvensyen Genosid PBB, yang diwujudkan pada tahun 1948.

Mana-mana negara yang telah menandatangani konvensyen itu boleh menyaman negara lain di ICJ, jika mereka tidak bersetuju dengan "tafsiran, pemakaian atau pemenuhan" peraturan yang dicipta untuk mencegah pembunuhan beramai-ramai.

Afrika Selatan berkata ia amat menyedari tanggungjawab berat dalam memulakan prosiding terhadap Israel kerana pelanggaran "Konvensyen Genosid"- AFP

ROSLINA BINTI DIN