fb fb fb fb fb

Israel dakwa rampas koridor penting Gaza-Mesir

FOTO AFP

RAFAH, Wilayah Palestin,30 Mei- Tentera Israel menyatakan bahawa pihaknya telah merampas kawalan sebuah koridor penting antara Gaza dengan Mesir, yang dipercayai telah digunakan Hamas untuk menyeludup senjata.

Angkatan Pertahanan Israel (IDF) menyatakan sebuah sistem yang merangkumi sebanyak 20 terowong telah ditemuinya.

Mesir bagaimanapun telah menolak dakwaan tersebut dan sebaliknya menuduh Israel mempergunakan dakwaan tersebut sebagai alasan untuk menyerang Rafah.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dijadualkan bersidang untuk mesyuarat tergempar hari kedua selepas serangan Israel pada hujung minggu lalu mencetuskan kebakaran di sebuah kem pelarian yang membunuh 45 orang dan mencederakan kira-kira 250 yang lain.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres adalah antara ramai pemimpin yang meluahkan kemarahannya terhadap pertumpahan darah itu, sambil menuntut agar "serangan sedemikian rupa dihentikan serta-merta".

Penasihat Keselamatan Negara Israel, Tzachi Hanegbi bagaimanapun berkata perang di Gaza akan berlarutan sehingga hujung tahun ini.

"Kami mungkin mempunyai tujuh bulan lagi untuk bertempur demi mengukuhkan kejayaan kami dan mencapai apa yang telah kami takrifkan sebagai pemusnahan kuasa dan keupayaan Hamas," jelas Hanegbi.-AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI