fb fb fb fb fb

Enam wartawan Iran diusir dari Saudi kerana rakam bacaan al-Quran di Masjid Nabawi

Foto Fail: Masjid Nabawi/ AFP

TEHRAN, 30 Mei- Arab Saudi mengusir enam wartawan Iran selepas mereka ditangkap di sebuah tapak suci utama Islam, lapor media negara Iran sambil menambah bahawa sebabnya masih tidak diketahui.

"Mereka ditahan pada Selasa minggu lalu ketika merakam bacaan ayat suci al-Quran di Masjid Nabawi di Madinah," menurut televisyen negara itu.

"Selepas disoal siasat selama beberapa jam, mereka dibawa ke pusat tahanan polis di Madinah tanpa sebarang alasan diberikan," tambahnya.

Bagaimanapun Arab Saudi tidak mengulas tentang penangkapan dan pengusiran tersebut.

"Kami masih tidak tahu sebab-sebab khusus isu ini," kata ketua televisyen negara, Peyman Jebelli, dari lapangan terbang Imam Khomeini, Tehran, di mana beliau bertemu para wartawan setibanya di Iran.

Siaran itu menjelaskan bahawa kumpulan wartawan itu berada di Arab Saudi untuk membuat liputan musim haji bermula pertengahan Jun ini.

Arab Saudi sudah hampir sedekad melarang Iran daripada mengerjakan umrah.

Hubungan diplomatik antara dua kuasa besar di Timur Tengah itu menjadi renggang pada 2016 selepas Arab Saudi menjatuhkan hukuman mati terhadap ulama Syiah terkenal di negara itu, Nimr al-Nimr.

Riyadh juga melarang warga asing daripada memasuki negaranya untuk mengerjakan ibadah haji, semasa pandemik COVID-19.

Jemaah dari republik Islam itu dibenarkan menunaikan haji tahun lalu selepas Tehran dan Riyadh bersetuju dalam satu perjanjian untuk memulihkan hubungan dan membuka semula kedutaan masing-masing, di mana China bertindak sebagai pengantara perjanjian itu.

Jemaah Iran tidak dibenarkan menunaikan ibadah umrah sehinggalah pada tahun ini dan ia merupakan satu perkembangan yang dilihat sebagai isyarat hubungan antara dua negara itu semakin baik.

Pada bulan lalu, semasa jemaah meninggalkan Tehran menuju Riyadh untuk mengerjakan umrah, mereka diraikan dalam satu majlis yang dihadiri duta Saudi ke Iran, Abdullah bin Saud al-Anazi.- AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI