fb fb fb fb fb

UK bubar Parlimen menjelang pilihan raya pada 4 Julai

Sunak menetapkan pilihan raya tersebut pada 4 Julai dan bukan pada hujung tahun ini sepertimana yang dijangkakan secara meluas / AFP

LONDON, 30 Mei- Parlimen Britain dibubarkan hari ini menjelang pilihan raya pada 4 Julai, yang dijangka akan menyaksikan Parti Buruh kembali menerajui tampuk kepimpinan negara itu setelah ditadbir oleh Parti Konservatif selama 14 tahun.

Tempoh berkempen selama lima minggu sudah pun bermula secara rasmi, dengan 650 kerusi ahli Parlimen (MP) dikosongkan seminit selepas tengah malam, selaras dengan jadual pilihan raya.

Minggu pertama berkempen menyaksikan permulaan yang goyah berikutan pengumuman mengejut Perdana Menteri, Rishi Sunak untuk mengadakan pilihan raya.

Ramai pemerhati politik bahkan, menyifatkan hujan pada hari pengumuman itu dibuat sebagai satu petanda buruk.

Sunak menetapkan pilihan raya tersebut pada 4 Julai dan bukan pada hujung tahun ini sepertimana yang dijangkakan secara meluas.

Para pemerhati politik menyifatkan keputusan Sunak sebagai percubaan untuk mendapatkan semula momentum selepas tinjauan pendapat menunjukkan sokongan terhadap partinya semakin merosot.

Selepas 14 tahun menjadi pembangkang, parti Buruh kini berpeluang untuk memenangi semula kuasa di bawa pimpinan ketuanya, Keir Starmer, bekas peguam hak asasi manusia.

Kira-kira 129 ahli Parlimen setakat ini mengumumkan bahawa mereka tidak akan bertanding untuk pemilihan semula termasuk 77 yang mewakili Konservatif, satu penghijrahan besar yang belum pernah berlaku sebelum ini untuk parti pemerintah.

Tanda-tanda perbalahan juga tersebar luas dengan seorang ahli parlimen Tory menyokong calon dari parti populis sayap kanan Reform UK di kawasannya, sebelum digantung serta-merta oleh Konservatif.

Selepas pengumuman pilihan raya, Sunak mengembara ke seluruh negara, mempromosikan Konservatif sebagai pilihan 'selamat'.

Tinjauan pendapat meletakkan Buruh secara purata pada mendapat 45 peratus sokongan pengundi, berbanding 23 peratus untuk Tory, menunjukkan bahawa di bawah sistem pengundian majoriti mudah, Buruh akan menikmati kemenangan yang sangat besar.

Dalam usaha untuk mengubah keadaan, Sunak berharap untuk memenangi mata dalam debat yang dijadualkan dengan Keir Starmer, yang pertama akan berlangsung Selasa depan di ITV.

Sementara itu, Buruh berusaha untuk memanfaatkan keletihan orang ramai dengan Konservatif, yang telah melihat lima perdana menteri sejak 2016 di samping banyak skandal dan masalah ekonomi. - AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI