fb fb fb fb fb

Israel bukan lagi rakan untuk keamanan - Abbas

(Presiden Palestin, Mahmud Abbas berucap pada sesi ke-77 Perhimpunan Agung PBB di New York/ AFP)

WASHINGTON, 24 September- Israel sengaja menghalang kemajuan ke arah penyelesaian dua negara dan tidak lagi boleh dianggap sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai dalam proses damai, kata Presiden Palestin, Mahmud Abbas kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas Perdana Menteri Israel, Yair Lapid, berkata menyokong penyelesaian antara kedua-dua negara, namun Abbas berkata ia perlu dibuktikan melalui rundingan segera.

Abbas berkata, negara Yahudi bertindak dengan 'kebebasan sepenuhnya' terhadap penduduk di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat dan kepercayaan rakyat Palestin terhadap prospek keamanan semakin merosot.

"Israel melalui dasar yang dirancang dan disengajakan memusnahkan penyelesaian dua negara.

"Ini membuktikan dengan jelas bahawa Israel tidak percaya kepada keamanan, justeru, kami tidak lagi mempunyai rakan kongsi Israel yang boleh kami berbincang," katanya dalam ucapan pada Perhimpunan Agung itu.

Lapid, dalam ucapannya, mengulangi sokongan untuk mewujudkan sebuah negara Palestin yang 'damai'.


(Perdana Menteri Israel, Yair Lapid berucap pada sesi ke-77 Perhimpunan Agung PBB di
New York 
pada 22 September lalu / AFP)

Abbas menyifatkan kenyataan itu sebagai 'perkembangan positif', namun berkata, ujian kredibiliti sebenar adalah untuk kerajaan Israel kembali ke meja rundingan serta-merta.

Rundingan damai Israel-Palestin terhenti sejak 2014 dan strategi semasa kerajaan Lapid adalah untuk cuba menyokong ekonomi Palestin, namun tanpa memulakan proses damai dengan Abbas.

Abbas, 87, sedang berdepan pergolakan yang semakin meningkat di Tebing Barat, yang berisiko untuk hilang kawalan dan popularitinya di wilayah itu merosot ke paras terendah.

Segelintir rakyat Palestin menuduh Pihak Berkuasa Palestin (PA) sebagai dikuasai Israel dan secara diam-diam menerima pendudukan di Tebing Barat.

Abbas berkata, Israel terbabit dalam kempen rampasan tanah di wilayah yang diduduki dan memberikan 'kebebasan sepenuhnya' kepada tentera untuk membunuh atau menggunakan kekerasan berlebihan terhadap rakyat Palestin.

"Ini adalah kebenaran, mereka adalah rejim Apartheid," katanya menggunakan perbandingan yang menimbulkan kemarahan Israel.

Duta Israel ke PBB, Gilad Erdan, mendakwa ucapan Abbas adalah 'kenyataan berbohong sepenuhnya yang terpisah daripada realiti'. - AFP

Media Baharu