fb fb fb fb fb

Dilema negara anggota EU terima kemasukan warga Rusia

(Rakyat Rusia tiba di Lapangan Terbang Zvartnots di Yerevan, Armenia
pada 21 September 2022/AFP)

BRUSSELS, 24 September- Negara-negara anggota Kesatuan Eropah (EU) menghadapi cabaran sukar untuk menangani isu warga Rusia melarikan diri daripada kerahan separa tentera.

Sesetengah negara cuba menghalang kemasukan mereka, manakala yang lain menawarkan perlindungan.

Arahan Presiden Rusia, Vladimir Putin memanggil ratusan ribu warganya untuk berperang di Ukraine menyebabkan ramai berebut-rebut untuk keluar ke negara jiran dalam usaha mengelak daripada pergi ke medan perang.


(Presiden Rusia, Vladimir Putin/AFP)

Penerbangan ke negara yang memberikan kemasukan tanpa visa kepada warga Rusia, terutamanya negara jiran hampir ditempah sepenuhnya walaupun harga tiket melambung.

Setakat ini, jumlah mereka yang datang ke EU adalah sederhana kerana blok itu telah menyekat perjalanan dari Rusia dengan menyekat penerbangan terus dan memperketat peraturan visa berikutan pencerobohan Ukraine.

Sementara itu, Finland yang mengekalkan sempadan daratnya dengan Moscow melaporkan bahawa ketibaan dari Rusia meningkat dua kali ganda kepada 6,470 sehari selepas pengumuman Putin.

Bagaimanapun, perkara itu mencetuskan perdebatan di Brussels apabila ahli EU menggunakan pendekatan yang sangat berbeza kepada warga Rusia yang ingin melarikan diri daripada pertempuran.

Negara-negara Baltik dan Poland telah menyekat kemasukan secara drastik bagi warga Rusia yang mempunyai visa.

"Kami tidak seharusnya menawarkan perlindungan kepada orang yang meninggalkan tempat tinggal", kata Menteri Dalam Negeri Estonia, Lauri Laanemets kepada media tempatan.

"Itu secara asasnya bercanggah dengan matlamat semua sekatan kami setakat ini, yang merupakan tanggungjawab kolektif warga Rusia," katanya.

Finland memberi isyarat bahawa ia mengambil langkah sama dengan mengumumkan akan menghadkan kemasukan warga Rusia selepas ketibaan dari Rusia meningkat susulan pengumuman Putin.-AFP



Media Baharu