fb fb fb fb fb

77 lemas, bot pendatang karam di perairan Syria

(FOTO AFP)

DAMASCUS, 24 September- Sekurang-kurangnya 77 pendatang lemas apabila bot yang dinaiki mereka dari Lubnan karam di pantai Syria, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Syria kelmarin, kejadian kapal karam terburuk di Lubnan sejak beberapa tahun lalu.

Lubnan, yang dilanda krisis kewangan sejak 2019 dan disifatkan oleh Bank Dunia sebagai salah satu yang terburuk pada zaman moden, menjadi tempat tumpuan untuk pendatang haram, dengan penduduknya sendiri menyertai pelarian dari Syria dan Palestin untuk meninggalkan negara.

Kira-kira 150 orang, kebanyakannya dari Lubnan dan Syria menaiki bot kecil yang karam itu di Lautan Mediterranean di luar bandar Tartus, Syria.


(Penyelamat Bulan Sabit Merah membawa mayat mangsa bot karam di bandar pelabuhan
Tartus, selatan Syria/  AFP)

"Jumlah mangsa daripada kapal karam itu mencecah 77 orang," kata Menteri Kesihatan Syria, Hassan al-Ghabash, menambah kira-kira 20 orang yang terselamat sedang dirawat di hospital di Tartus.

Antara yang diselamatkan lima warga Lubnan, menurut Pemangku Menteri Pengangkutan Lubnan, Ali Hamie kepada AFP.

"Saya sedang berbincang dengan Menteri Pengangkutan Syria mengenai cara untuk membawa pulang mangsa dari Syria," kata Hamie.

Tartus adalah bandar pelabuhan utama Syria di bahagian selatan dan terletak pada jarak kira-kira 50 kilometer ke utara bandar pelabuhan Tripoli di Lubnan, di mana penumpang menaikinya.

"Kami berdepan dengan salah satu operasi menyelamat terbesar," kata pegawai di Kementerian Pengangkutan Syria, Sleiman Khalil kepada AFP.

"Ia meliputi kawasan yang besar merangkumi seluruh pantai Syria dengan ombak besar menjadikan tugasan kami semakin mencabar," katanya. - AFP

Media Baharu