fb fb fb fb fb

Israel berisiko dipinggirkan di seluruh dunia, jika serang Rafah- Blinken

Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken/AFP

TEL AVIV, 22 Mac- Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken memberi amaran kepada Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu bahawa Israel berdepan risiko dipinggirkan di seluruh dunia jika ia menyerang bandar Rafah di Gaza.

Blinken mengadakan pertemuan dengan Netanyahu semasa misi damai ke Asia Barat, ditengah-tengah konflik Israel-Hamas, yang telah menyebabkan lebih 32,000 rakyat Palestin terkorban dan lebih ramai dikhuatiri mati terperangkap di bawah runtuhan.

"Kami berkongsi matlamat dengan Israel untuk mengalahkan Hamas. Namum, operasi ketenteraan darat di Rafah bukanlah cara untuk melakukannya," kata Blinken kepada pemberita di Tel Aviv.

"Ia berisiko membunuh lebih ramai orang awam, ia berisiko menimbulkan malapetaka yang lebih besar dengan pemberian bantuan kemanusiaan, ia berisiko Israel di pingirkan di seluruh dunia dan menjejaskan keselamatan dan kedudukannya dalam tempoh jangka panjang," tambah Blinken.

Netanyahu sebelum ini, berkata bahawa Israel akan meneruskan rancangannya sendiri jika Washington masih menentang rancangannya untuk menyerang Rafah di sempadan selatan selatan Gaza. Rafah menempatkan lebih 1 juta penduduk Gaza untuk mendapatkan perlindungan sementara.

Israel mendakwa Rafah adalah benteng terakhir untuk Hamas dan mereka mempunyai rancangan untuk memindahkan orang awam sebelum melancarkan serangan. Bagaimanapun, ia tidak berkongsi rancangan tersebut secara terbuka, mahupun dengan sekutu rapatnya, Washington.

Washington berkata serangan darat akan menjadi satu kesilapan dan menyebabkan bencana kepada mereka yang dipindahkan di sana.

Amerika Syarikat, sekutu terdekat Israel, menyediakan berbilion dolar setahun untuk bantuan ketenteraan dan kerap menggunakan pengaruh diplomatiknya untuk melindungi kepentingan Israel.-REUTERS

ROSLINA BINTI DIN