fb fb fb fb fb

Israel arah penduduk Khan Yunis kosongkan kawasan, beri amaran serangan terbaharu

Kem pelarian di Khan Yunis / AFP

GAZA, 27 Julai- Tentera Israel mengeluarkan arahan pemindahan baharu untuk penduduk bandar Khan Yunis di selatan Gaza pada hari Sabtu, selepas mengambil mayat lima warganya dan memberi amaran tentang operasi baharu.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) berkata lebih 180,000 rakyat Palestin telah melarikan diri daripada pertempuran sengit di Khan Yunis sejak tentera memulakan operasi di kawasan itu.

Arahan pemindahan dan "permusuhan yang semakin sengit" telah mengganggu operasi bantuan dengan ketara, kata PBB.

Pertubuhan itu turut melaporkan keadaan air, kebersihan dan sanitasi yang teruk di wilayah Palestin.

Selepas Israel memberi amaran bahawa tenteranya akan "beroperasi secara paksa" di wilayah Khan Yunis, termasuk kawasan yang sebelum ini diisytiharkan sebagai zon kemanusiaan selamat, kementerian kesihatan di Gaza berkata pada operasi Israel di Khan Yunis pada Isnin telah membunuh 70 orang dan mencederakan lebih daripada 200 orang.

Tentera berkata pada masa itu bahawa ia akan bertindak untuk menghentikan tembakan roket yang datang ke arah Israel dari kawasan itu, yang telah menyaksikan pertempuran hebat pada awal tahun ini.

Pada Rabu, tentera Israel berkata mereka menjalankan operasi menyelamat di Khan Yunis dan mengambil mayat lima warganya.

Pada hari Sabtu, ia mengarahkan penduduk dari lebih banyak bahagian Khan Yunis untuk berpindah sementara ke Al-Mawasi iaitu zon selamat dalam tempoh seminggu.

Saksi dan penyelamat berkata pertempuran sengit berterusan di sekitar timur Khan Yunis pada hari Jumaat, dan pegawai perubatan di Hospital Nasser di bandar itu melaporkan sekurang-kurangnya 16 mayat dibawa ke kemudahan itu dari bahagian berlainan di wilayah selatan.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE