DUBLIN, 22 Mei - Ireland, Sepanyol dan Norway mengumumkan bahawa mereka mengiktiraf Palestin sebagai negara berdaulat berkuatkuasa pada 28 Mei ini.
Langkah penuh bersejarah itu menyebabkan Israel mengarahkan duta besarnya di Norway dan Ireland pulang serta-merta. Tindakan sama dijangka turut dilakukan terhadap duta besarnya di Sepanyol.
Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Store membuat pengumuman tersebut di Oslo, manakala Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez di Madrid dan Perdana Menteri Ireland, Simon Harris di Dublin.
Mereka menyifatkan keputusan itu sebagai langkah mempercepatkan usaha mendapatkan gencatan senjata dalam konflik Israel-Palestin.
Mereka turut menggesa negara-negara lain untuk mengikuti langkah mereka meskipun sekutu utama Israel, Amerika Syarikat bertentangan dengan pendirian mereka.
Beberapa minggu lalu, negara-negara Kesatuan Eropah (EU) merancang untuk mengambil langkah sama dan meyakini penyelesaian dua negara adalah penting bagi mencapai keamanan yang berkekalan di rantau tersebut.
Selama beberapa dekad, pengiktirafan rasmi negara Palestin dilihat sebagai pengakhiran proses damai antara Palestin dan Israel.
Amerika Syarikat dan kebanyakan negara Eropah barat sebelum ini berkata, mereka bersedia untuk mengiktiraf negara Palestin suatu hari nanti, tetapi selepas persetujuan dicapai mengenai isu-isu seperti sempadan akhir dan status Baitulmuqaddis.
Zionis Israel melakukan serangan tanpa henti di bumi Gaza sejak 7 Oktober tahun lalu dan telah membunuh lebih daripada 35,000 rakyat Palestin. - REUTERS