fb fb fb fb fb

Iraq keluarkan waran tangkap 'rompakan abad ini'

(Seorang lelaki turut menyertai protes menentang percubaan parlimen Iraq
untuk meminda undang-undang pilihan raya/ AFP)

BAGHDAD, 4 Februari- Badan kehakiman Iraq mengeluarkan waran tangkap terhadap empat individu yang didakwa menjadi 'pemudah cara' kepada pencurian dana awam berjumlah AS$2.5 bilion dalam salah satu skandal rasuah terbesar di negara itu.

"Seorang hakim penyiasat di Baghdad telah mengeluarkan waran tangkap untuk empat bekas pegawai kanan kerajaan terdahulu", kata agensi antirasuah kerajaan dalam satu kenyataan.

Empat lelaki itu, termasuk bekas menteri kewangan dan kakitangan bekas Perdana Menteri, Mustafa al-Kadhemi, semuanya tinggal di luar negara.

Selain bekas Menteri Kewangan Ali Allawi, mereka terdiri daripada bekas pengarah kabinet Raed Jouhi, setiausaha peribadinya Ahmed Najati, dan penasihat Mushrik Abbas.

Mereka dituduh "memudahkan penyelewengan wang milik pihak berkuasa cukai," kata kenyataan itu, sambil menambah bahawa mereka juga akan dikenakan pembekuan aset.

Allawi, ahli politik dan akademik yang disegani, meletak jawatan pada Ogos tahun lalu. Apabila skandal itu pecah beberapa bulan kemudian, beliau menafikan sebarang pembabitan.

Kes itu, yang digelar "rompakan abad ini", mencetuskan kemarahan di Iraq yang kaya dengan minyak, yang menurut pengkritik dibelenggu oleh rasuah.

Sekurang-kurangnya AS$2.5 bilion telah dicuri dalam tempoh September 2021 hingga Ogos 2022 melalui 247 cek yang ditunaikan oleh lima syarikat. Wang itu kemudiannya dikeluarkan secara tunai daripada akaun syarikat-syarikat ini, kebanyakan pemiliknya sedang dalam pelarian.

Perdana Menteri, Mohammed Shia al-Sudani berikrar akan membanteras rasuah sejak pelantikannya pada akhir Oktober tahun lepas. -AFP

(Mohammed Shia al-Sudani telah berikrar untuk membanteras rasuah sejak pelantikannya pada
akhir Oktober/Fail REUTERS)

Media Baharu