fb fb fb fb fb

17 maut dalam kebakaran depoh minyak di Jakarta

(Anggota bomba sedang memadamkan kebakaran berhampiran depoh bahan api milik
syarikat minyak dan gas milik kerajaan Pertamina, di Plumpang, Jakarta/AFP)

JAKARTA, 4 Mac- Sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam kebakaran besar-besaran di depoh minyak milik kerajaan di ibu negara Indonesia semalam.

Api yang marak membakar beberapa rumah, menyebabkan orang ramai melarikan diri dalam keadaan panik.

Kebakaran besar itu memaksa mereka berpindah ke kawasan perumahan berhampiran depoh yang dikendalikan oleh firma minyak dan gas asli, Pertamina di utara Jakarta, kata pegawai.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Jakarta mengesahkan bahawa 17 orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 50 cedera.

"Ramai daripada mereka yang terbunuh dan cedera melecur teruk," kata Ketua Jabatan Bomba Jakarta, Satriadi Gunawan kepada AFP.

Katanya anggota bomba sedang berusaha "menyejukkan" kawasan kebakaran selepas api berjaya dikawal.

(17 maut dalam kebakaran depoh minyak di Jakarta/REUTERS)

"Kebakaran berjaya dipadamkan beberapa jam selepas ia bermula," menurut Ketua Turus Tentera Nasional Indonesia, Jeneral Dudung Abdurachman kepada pemberita.

Punca kebakaran itu yang bermula selepas 8.00 malam waktu tempatan, tidak jelas.

Siasatan sedang dilakukan oleh pihak tentera dan Pertamina.

“Pertamina memberi tumpuan untuk mengendalikan kebakaran dan memindahkan pekerja serta penduduk berhampiran ke lokasi lebih selamat,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Ketua Eksekutif firma minyak dan gas itu, Nicke Widyawati berkata "penilaian dalaman akan dilaksanakan untuk mengelak kejadian serupa daripada berulang."

Menurutnya bekalan bahan bakar negara tidak terganggu, bekalan simpanan akan disalurkan dari terminal terdekat. -AFP

Media Baharu