TEHRAN, 13 Oktober – Iran menyatakan sokongan terhadap perjanjian Gaza yang diusahakan Amerika Syarikat dan menegaskan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin mesti dihentikan segera.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei berkata peranan sesebuah negara dalam perkembangan serantau dan antarabangsa tidak semestinya bergantung kepada kehadiran fizikal dalam sesuatu acara.
“Peranan dalam perkembangan serantau dan antarabangsa tidak semestinya bergantung kepada kehadiran fizikal atau ketiadaan dalam sesuatu acara tertentu,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Dalam satu hantaran di platform X, Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi turut mengucapkan terima kasih atas jemputan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi, untuk menghadiri Sidang Kemuncak Sharm el-Sheikh.
Namun, beliau menjelaskan meskipun Iran menyokong usaha diplomasi, negara itu tidak akan menghadiri sidang kemuncak berkenaan yang diadakan pada Isnin bagi membincangkan langkah menamatkan perang di Gaza.
Terdahulu, Tehran menyeru masyarakat antarabangsa supaya bertindak menghalang Israel daripada terus melanggar tanggungjawabnya terhadap Gaza di bawah perjanjian tersebut.
Pada Isnin, Hamas membebaskan 20 tebusan Israel terakhir yang masih hidup di bawah perjanjian gencatan senjata yang diusahakan Amerika Syarikat, satu langkah besar ke arah menamatkan dua tahun peperangan yang memusnahkan Gaza.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menyifatkan perkembangan itu sebagai “fajar baharu yang bersejarah bagi Asia Barat.”
Namun begitu, pemerhati antarabangsa berpendapat masih terdapat halangan besar untuk mencapai penyelesaian berkekalan bagi konflik di Gaza, apatah lagi terhadap konflik Israel-Palestin yang lebih meluas serta perpecahan lain yang berterusan di rantau Asia Barat. -REUTERS