fb fb fb fb fb

Iran sedia runding program nuklearnya jika Barat bersikap "serius"

Foto REUTERS

TEHRAN, 30 Januari-Iran bersedia untuk berunding semula berhubung program nuklearnya, sekiranya Barat menunjukkan keseriusan mereka, kata jurucakap kementerian luar dalam satu wawancara pada Khamis.

"Kami telah menyatakan beberapa kali bahawa kami (Iran) bersedia untuk berbincang, tetapi hanya jika pihak lain benar-benar serius dalam perkara ini," kata Esmaeil Baqaei kepada akhbar rasmi kerajaan Iran.

Tehran telah beberapa kali memberi isyarat kepada Barat mengenai kesediaannya untuk mencapai perjanjian berhubung program nuklearnya.

Dalam satu wawancara bersama Sky News yang disiarkan di saluran Telegram rasminya pada Selasa, Menteri Luar Abbas Araghchi berkata bahawa pentadbiran baharu Amerika Syarikat perlu berusaha untuk mendapatkan kembali kepercayaan Tehran sekiranya mereka ingin memulakan rundingan nuklear yang baharu.

Dalam wawancara berkenaan, Baqaei menyatakan harapan agar Presiden AS yang baharu, Donald Trump, mengambil pendekatan yang lebih realistik terhadap Iran.

Ketika penggal pertamanya yang berakhir pada tahun 2021, Trump melaksanakan dasar tekanan maksimum dengan menarik Amerika Syarikat keluar daripada perjanjian nuklear bersejarah yang mengenakan sekatan ke atas program nuklear Iran sebagai pertukaran bagi pelepasan sekatan ekonomi.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kemungkinan rundingan baharu, Baqaei berkata bahawa dasar Iran akan bergantung kepada tindakan pihak lain.

Tehran mematuhi perjanjian tersebut, yang dikenali sebagai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) sehingga setahun selepas penarikan Washington pada tahun 2018.

Namun, Iran kemudian mula mengurangkan komitmennya terhadap perjanjian itu.

Usaha untuk menghidupkan semula perjanjian nuklear 2015 sejak itu mengalami kegagalan.

Iran telah berulang kali menyatakan kesediaan untuk menghidupkan semula perjanjian nuklear, dan Presiden Masoud Pezeshkian, yang memegang jawatan Julai lalu, menyeru supaya pengasingan Iran di peringkat antarabangsa ditamatkan.

Sebelum Trump kembali ke White House, pegawai Iran telah mengadakan rundingan nuklear dengan rakan sejawat dari Britain, Perancis, dan Jerman, yang disifatkan sebagai terbuka dan membina.

Pada bulan Disember, tiga kerajaan Barat itu menuduh Tehran meningkatkan stok uranium yang diperkaya tinggi ke tahap yang belum pernah berlaku sebelumnya tanpa sebarang justifikasi sivil yang boleh dipercayai dan membincangkan kemungkinan mengenakan semula sekatan.

Baqaei memberi amaran bahawa jika ini berlaku, pematuhan Iran terhadap Perjanjian Non-Proliferasi Nuklear (NPT) tidak lagi mempunyai sebarang makna.

Di bawah NPT, negara anggota diwajibkan untuk mengisytiharkan stok nuklear mereka dan meletakkannya di bawah pengawasan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Terdahulu, Pada tahun 2015, Iran telah menandatangani perjanjian nuklear JCPOA bersama Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Jerman, Rusia, dan China.

Perjanjian berkenaan bertujuan untuk menghadkan kapasiti nuklear Iran sebagai pertukaran untuk pelepasan sekatan ekonomi.

Namun, pada tahun 2018, Presiden Donald Trump menarik Amerika Syarikat keluar daripada perjanjian tersebut dan mengenakan semula sekatan ekonomi yang ketat terhadap Iran, dengan alasan bahawa perjanjian itu tidak cukup untuk menghalang Tehran daripada membangunkan senjata nuklear.

Sebagai tindak balas, Iran mula memperkayakan uranium melebihi had yang dibenarkan dalam perjanjian.

Ketegangan meningkat, dengan beberapa insiden termasuk serangan ke atas kapal minyak dan pangkalan tentera di Asia Barat yang dikaitkan dengan Iran.

Selepas Joe Biden mengambil alih jawatan Presiden AS pada tahun 2021, terdapat usaha untuk menghidupkan semula JCPOA, tetapi rundingan berdepan pelbagai cabaran dan akhirnya gagal mencapai kata sepakat.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD