STOCKHOLM, 30 Januari-Seorang lelaki yang berulang kali membakar Al-Quran pada tahun 2023 di Sweden, telah ditembak mati, menurut laporan media pada Khamis.
Polis turut mengesahkan bahawa seorang lelaki telah meninggal dunia dalam satu insiden tembakan sehari sebelumnya.
Mahkamah di Stockholm sepatutnya membuat keputusan pada Khamis sama ada Salwan Momika, seorang warga Iraq beragama Kristian yang melakukan pembakaran Al-Quran dalam beberapa siri protes, bersalah atas tuduhan menghasut kebencian terhadap kumpulan etnik.
Bagaimanapun, keputusan itu ditangguhkan sehingga 3 Februari kerana kematian Momika.
Polis berkata dalam satu kenyataan bahawa mereka telah menerima laporan mengenai kejadian tembakan di bandar Sodertalje, tempat Momika menetap.
“Tembakan berlaku di dalam sebuah bangunan dan lelaki itu kemudian dibawa ke hospital,” kata kenyataan tersebut.
Dalam kemas kini seterusnya, polis mengesahkan bahawa lelaki itu telah meninggal dunia dan siasatan kes pembunuhan telah dibuka.
Beberapa media mengenal pasti lelaki yang terbunuh sebagai Momika dan melaporkan bahawa tembakan itu mungkin disiarkan secara langsung di media sosial.
Pada Ogos 2023, Momika dan rakannya Salwan Najem didakwa atas tuduhan menghasut kebencian terhadap kumpulan etnik dalam empat insiden sepanjang 2023.
Menurut dokumen pertuduhan, mereka telah mencemarkan Al-Quran termasuk membakarnya sambil mengeluarkan kenyataan menghina umat Islam termasuk di luar sebuah masjid di Stockholm.
Protes tersebut menyebabkan ketegangan diplomatik antara Sweden dan beberapa negara Asia Barat.
Pada Julai 2023, penunjuk perasaan Iraq menyerbu kedutaan Sweden di Baghdad sebanyak dua kali, malah membakar sebahagian daripada kompleks kedutaan dalam serangan kedua.
Susulan insiden itu, pada Ogos 2023, Perkhidmatan Keselamatan Sweden (Sapo) meningkatkan tahap ancaman keselamatan ke tahap empat daripada lima selepas pembakaran Al-Quran menjadikan Sweden sebagai sasaran keutamaan serangan.
Kerajaan Sweden mengutuk tindakan mencemarkan Al-Quran tetapi menegaskan bahawa negara itu mempunyai perlindungan kebebasan bersuara dan berhimpun yang dijamin oleh perlembagaan.
Pada Oktober 2023, sebuah mahkamah Sweden buat pertama kalinya menjatuhkan hukuman ke atas seorang lelaki kerana menghasut kebencian etnik selepas dia membakar Al-Quran pada tahun 2020.
Pendakwa raya sebelum ini menyatakan bahawa mengikut undang-undang Sweden, pembakaran al-Quran boleh dilihat sebagai kritikan terhadap kitab tersebut dan agama Islam, yang dilindungi di bawah kebebasan bersuara.
Sementara itu, Polis Sweden mengesahkan lima suspek telah ditahan berhubung pembunuhan tersebut.
"Pihak polis telah menahan kelima-lima suspek", menurut polis dalam satu kenyataan.