fb fb fb fb fb

Iran sedia pertahan kedaulatan jika diserang Israel

Foto REUTERS

TEHRAN, 11 Oktober-Iran menegaskan bahawa ia bersedia sepenuhnya untuk mempertahankan kedaulatannya" jika diserang oleh musuh ketatnya, Israel, yang telah mengancam tindak balas terhadap serangan peluru berpandu yang dilancarkan oleh Iran sebelum ini.

Pada 1 Oktober lalu, Iran melancarkan kira-kira 200 peluru berpandu ke arah Israel sebagai tindakan balas dendam atas pembunuhan dua sekutu rapatnya, iaitu pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, dan pemimpin Hezbollah, Hassan Nasrallah, serta seorang Jeneral Iran.

Pembunuhan tersebut mencetuskan ketegangan di rantau Asia Barat.

Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, memberi amaran bahawa tindak balas negaranya akan bersifat "maut, tepat, dan mengejutkan."

Dalam satu ucapan di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis, wakil tetap Iran ke PBB, Amir Saeid Iravani, menegaskan bahawa negara itu "bersedia sepenuhnya untuk mempertahankan kedaulatan dan integriti wilayahnya terhadap sebarang pencerobohan yang mengancam kepentingan dan keselamatan negara itu.

Iran, katanya, tidak mencari "perang atau peningkatan konflik", tetapi akan menjalankan "hak semula jadi untuk mempertahankan diri sepenuhnya selaras dengan undang-undang antarabangsa dan akan memaklumkan kepada Majlis Keselamatan mengenai tindak balas sahnya."

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, dalam satu temu bual bersama Al Jazeera Arabic pada Khamis, turut menyatakan,

"Kami tidak mahu perang," tetapi menambah, "kami tidak takut akan perang, dan kami akan bersedia untuk sebarang senario."

Amaran tersebut berlaku ketika konflik yang semakin memburuk antara Israel dan kumpulan pejuang Palestin yang disokong Iran.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD