fb fb fb fb fb

Sidang Kemuncak Asia Timur: Tiada perkara baharu daripada Rusia-Blinken

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken/Foto REUTERS

VIENTIANE,11 Oktober-Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, menyatakan beliau tidak mendengar sebarang perkara baharu daripada Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov, ketika kedua-duanya menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur pada Jumaat.

Meskipun, mereka berada di dalam bilik yang sama semasa sesi tertutup, Blinken mengesahkan tiada pertemuan langsung dengan Lavrov.

"Kami mendengar antara satu sama lain, tetapi malangnya, tiada apa-apa yang baharu mengenai pencerobohan Rusia yang berterusan terhadap Ukraine," kata Blinken.

Beliau turut menambah, Hampir setiap negara yang hadir menyuarakan bahawa pencerobohan ini perlu dihentikan.

Menurutnya lagi, amat mengejutkan bahawa negara-negara di rantau Indo-Pasifik yang jauh turut prihatin terhadap situasi di Ukraine.

Ini kerana mereka memahami bahawa jika mana-mana negara dibenarkan bertindak tanpa hukuman dan melakukan pencerobohan, ia menjadi isyarat kepada pihak-pihak lain yang ingin berbuat demikian.

Di sebalik pendapat Blinken mengenai persetujuan bersama di sidang tersebut, AS tetap berwaspada terhadap sokongan China kepada Rusia melalui eksport industri canggih, walaupun ia bukan bantuan ketenteraan langsung.

Sementara itu, Presiden AS, Joe Biden dan Naib Presiden Kamala Harris menegaskan bahawa AS akan terus menyokong Ukraine dan tidak akan berunding dengan Rusia tanpa melibatkan Kyiv.

Pendekatan berkenaan berbeza dengan calon Republikan, Donald Trump, yang kini berada dalam perlumbaan sengit menentang Harris untuk pilihan raya bulan depan.

Trump berjanji akan mengakhiri konflik Ukraine dengan cepat, dan memberi bayangan beliau mungkin akan menarik balik bantuan kepada Ukraine sebagai tekanan untuk mendapatkan konsesi wilayah.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD