fb fb fb fb fb

Iran laksana 834 hukuman mati tahun lalu, tertinggi sejak 2015

Beberapa protes telah diadakan di seluruh dunia terhadap hukuman mati di Iran/ Foto fail AFP

PARIS, 5 Mac- Iran didakwa melaksanakan hukuman mati secara mengejut ke atas sekurang-kurangnya 834 orang, tahun lalu.

Jumlah itu adalah yang tertinggi sejak 2015 dan meningkat kira-kira 43 peratus pada 2022.

Hak Asasi Manusia Iran (IHR) yang berpangkalan di Norway bersama Together Against the Penalty berkata, ini adalah kali kedua dalam tempoh dua dekad di mana lebih 800 hukuman mati direkodkan dalam setahun, selepas 972 hukuman mati pada 2015.

Kumpulan itu menuduh Iran menggunakan hukuman mati untuk menyebarkan ketakutan terhadap masyarakat susulan protes yang dicetuskan oleh kematian Mahsa Amini ketika dalam tahanan polis.

Pengarah IHR, Mahmood Amiry-Moghaddam, berkata menyemai ketakutan masyarakat adalah satu-satunya cara rejim memegang kuasa dan hukuman mati adalah instrumen terpentingnya.

Iran telah menjatuhkan hukuman mati terhadap sembilan lelaki dalam kes yang dikaitkan dengan serangan ke atas pasukan keselamatan ketika protes 2022.

Sebanyak dua orang pada 2022, enam pada 2023 dan seorang setakat ini pada 2024.

Walau bagaimanapun hukuman mati turut dipertingkatkan atas tuduhan lain, terutamanya dalam kes berkaitan dadah.

"Kebimbangan khusus ialah peningkatan dramatik dalam jumlah hukuman mati berkaitan dadah pada 2023, yang meningkat kepada 471 orang, lebih 18 kali lebih tinggi daripada angka yang dicatatkan pada 2020," kata laporan itu.

Sekurang-kurangnya 167 ahli minoriti Baluch dihukum bunuh secara keseluruhan, menyumbang 20 peratus daripada jumlah hukuman mati pada 2023, walaupun minoriti itu hanya menyumbang sekitar lima peratus penduduk Iran.

Pengarah ECPM, Raphael Chenuil-Hazan, berkata reaksi yang kurang daripada Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) menghantar isyarat yang salah kepada pihak berkuasa Iran.

Kebanyakan hukuman gantung di Iran dilakukan dalam penjara tetapi laporan itu mengatakan bahawa pada 2023 jumlah hukuman gantung yang dilakukan di khalayak ramai di Iran meningkat tiga kali ganda daripada 2022, dengan tujuh orang digantung di tempat awam.

Sekurang-kurangnya 22 wanita dihukum bunuh, menandakan jumlah tertinggi dalam dekad yang lalu.

Seramai 15 daripada mereka dihukum gantung atas tuduhan membunuh.

Pada 2023, hanya 15 peratus daripada hukuman mati yang direkodkan diumumkan oleh media rasmi Iran.

Amiry-Moghaddam melahirkan kebimbangan bahawa kekurangan kemarahan antarabangsa terhadap hukuman mati, khususnya dengan perhatian tertumpu pada perang Gaza, hanya menggalakkan republik Islam itu untuk melakukan lebih banyak hukuman gantung.

"Ketidakkonsistenan dalam reaksi masyarakat antarabangsa terhadap hukuman mati di Iran adalah malang dan menghantar isyarat yang salah kepada pihak berkuasa," katanya. - AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI