fb fb fb fb fb

Turkiye tahan tujuh individu disyaki jual maklumat kepada Mossad Israel

Foto Hiasan/ REUTERS

ISTANBUL, 5 Mac- Polis Turkiye telah menahan tujuh orang, termasuk seorang detektif swasta, yang disyaki menjual maklumat kepada perkhidmatan perisikan Mossad Israel, kata agensi berita Anadolu, hari ini.

Anadolu memetik sumber keselamatan berkata detektif swasta, bekas penjawat awam disyaki mengumpul maklumat mengenai syarikat dan individu Timur Tengah di Turkiye dengan meletakkan peranti pengesan dan terlibat dalam pengawasan.

Sumber itu berkata, penahanan itu adalah sebahagian daripada operasi yang dijalankan oleh agensi perisikan kebangsaan Turkiye, MIT dan polis anti keganasan Istanbul.

Ankara tidak membuat sebarang kenyataan rasmi mengenai operasi itu. Israel tidak segera mengulas mengenai laporan Anadolu itu.

Detektif Turkiye itu dilatih oleh Mossad di ibu kota Serbia, Belgrade dan menerima bayaran dalam mata wang kripto yang tidak terdapat dalam rekod rasmi, kata sumber itu.

Mahkamah Turkiye pada Januari memerintahkan penahanan 15 orang dan pengusiran lapan lagi yang disyaki mempunyai kaitan dengan Mossad dan menyasarkan rakyat Palestin yang tinggal di Turkiye.

Pada Februari, Turkiye menahan tujuh orang yang disyaki menjual maklumat kepada Mossad.

Turkiye telah memberi amaran kepada Israel tentang "akibat serius" jika mereka cuba memburu anggota Hamas yang tinggal di luar wilayah Palestin, termasuk di Turkiye. -REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI