TEHRAN, 30 Januari- Iran menjatuhkan hukuman gantung kepada empat lelaki daripada minoriti Kurdish atas kesalahan menjadi pengintip Israel.
Laman web badan kehakiman, Mizan Online memaklumkan hukuman mati tersebut dijalankan pada subuh semalam selepas mereka disabitkan bersalah kerana menjalin kerjasama dengan Israel untuk mensabotaj tapak pertahanan negara di wilayah tengah Isfahan.
Kesemua mereka berusia bawah 30-an itu dikenal pasti sebagai ahli kumpulan yang bergabung dengan organisasi perisikan Zionis iaitu Mossad.
Keluarga pesalah juga dipanggil hadir ke penjara Ghezel Hesar di Karaj, Tehran untuk pertemuan terakhir sebelum hukuman berjalan.
Terdahulu, pihak berkuasa Iran berkata, empat lelaki itu direkrut oleh Mossad selama setahun setengah sebelum melakukan operasi tertentu.
Mereka dihantar ke negara-negara Afrika untuk kursus latihan di pusat tentera yang dihadiri oleh pegawai Mossad, tambah badan kehakiman.
Pada Ogos lalu, Iran mendakwa telah menggagalkan satu misi Mossad yang cuba mensabotaj industri peluru berpandu balistiknya.
Kedua-dua pihak tersebut terlibat dalam perang bayangan selama beberapa dekad dengan Iran mendakwa Israel dan sekutunya iaitu Amerika Syarikat (AS) sering menghasut kekacauan serta rusuhan dalam negaranya.
Ketegangan semakin memuncak di tengah-tengah perang di Gaza yang berlanjutan sejak 7 Oktober lalu.
Sementara itu, Iran mengeluarkan satu kenyataan semalam bagi menafikan sebarang kaitan dengan serangan dron di Jordan yang membunuh tiga anggota tentera AS. -AFP