fb fb fb fb fb

Qatar harap tindak balas AS tidak jejas rundingan tebusan Israel-Hamas

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken menghadiri pertemuan dengan Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Qatar, Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al Thani, di Amman, Jordan, pada 4 November 2023/ REUTERS

WASHINGTON, 30 Januari- Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim al Thani berkata beliau berharap tindak balas AS terhadap serangan dron yang membunuh tiga tentera AS di Jordan tidak akan menjejaskan perjanjian pembebasan tebusan Israel-Hamas dalam rundingan terbaharu hujung minggu lalu.

"Saya berharap tiada apa-apa yang akan menjejaskan usaha yang kami lakukan atau menjejaskan proses itu," katanya.

Ia adalah serangan maut pertama terhadap tentera AS sejak perang Israel-Hamas meletus pada Oktober, dan menandakan ketegangan yang semakin meruncing melanda Timur Tengah.

Pengarah CIA , William Burns bertemu Sheikh Mohammed, serta ketua perkhidmatan perisikan Mossad Israel dan ketua perisikan Mesir pada Ahad di Paris untuk perbincangan yang disifatkan positif oleh Israel, Qatar dan AS, walaupun terdapat jurang yang ketara.

Presiden AS, Joe Biden telah cuba untuk memudahkan pembebasan oleh Hamas, yang memerintah Gaza di mana lebih daripada 100 tebusan di tawan dalam serangan maut 7 Oktober lalu.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken berkata rundingan Paris memberikan harapan untuk meneruskan proses rundingan yang diterajui Qatar selepas perjanjian pertama pada November menyaksikan Hamas membebaskan sekitar 100 tebusan.

Rangka kerja untuk kemungkinan perjanjian kedua yang dibangunkan di Paris "adalah satu yang kukuh dan menarik yang menawarkan harapan bahawa kita boleh kembali ke dalam proses ini," katanya pada sidang akhbar dengan Setiausaha Agung Nato,Jens Stoltenberg.

"Hamas perlu membuat keputusan sendiri," kata Blinken, yang enggan mendedahkan butiran cadangan itu.

Menurut Israel, kira-kira 1,200 orang terbunuh dan 253 diculik dalam serangan itu, yang mencetuskan perang Israel untuk menghapuskan Hamas. Israel sejak itu melancarkan serangan ke atas Gaza yang telah meratakan sebahagian besar wilayah Palestin dan membunuh lebih 26,000 orang, kata pegawai kesihatan Palestin.

Ketegangan telah meningkat di sekitar Timur Tengah sejak Israel memulakan serangan udara dan darat, dengan tentera Houthi yang disokong Iran di Yaman menyerang AS dan sasaran lain di Laut Merah dalam serangan yang telah mengganggu sistem perkapalan global.

Pegawai AS berkata pada Ahad tiga anggota perkhidmatan AS terbunuh dan sekurang-kurangnya 34 cedera dalam serangan Hamas yang disokong Iran ke atas tentera AS di timur laut Jordan berhampiran sempadan Syria.

Bercakap pada Majlis Atlantik Washington, Perdana Menteri Qatar berkata tindakan balas AS pasti akan memberi kesan kepada keselamatan serantau dan mereka berharap perkara tersebut dapat dibendung.- REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI