fb fb fb fb fb

Iran hukum gantung empat individu didakwa pengintip kepada Israel

Ketua pihak berkuasa kehakiman Iran, Gholamhossein Mohseni Ejei berjalan di hadapan bendera Iran pada 1 Julai 2021/ AFP

TEHRAN, 29 Disember- Iran hari ini menghukum gantung empat individu yang disabitkan atas kesalahan mengintip bagi pihak musuh iaitu Israel, menurut badan kehakiman.

"Empat anggota kumpulan sabotaj yang berkaitan dengan rejim Zionis (Israel) sudah digantung pagi ini di wilayah barat laut Iran," lapor laman web badan kehakiman, Mizan Online.

Mereka dikenalpasti sebagai tiga lelaki iaitu Vafa Hanareh, Aram Omari dan Rahman Parhazo serta seorang wanita, Nasim Namazi.

Kesemua mereka sudah dijatuhi hukuman mati atas tuduhan 'moharebeh' atau melancarkan perang melawan Tuhan serta melakukan kerosakan di bumi, menerusi kerjasama mereka dengan rejim Zionis.

Katanya, kumpulan itu didakwa melakukan tindakan mengganggu keselamatan negara, yang ditaja agensi perisik Israel, Mossad.

Iran tidak mengiktiraf Israel dan kedua-dua negara sudah terbabit dalam perang dingin selama bertahun-tahun.

Pada 16 Disember, seorang lelaki yang turut disabitkan kesalahan bekerja untuk Mossad dihukum bunuh di wilayah tenggara Sistan-Baluchistan.

Badan kehakiman pada masa itu tidak mengenal pasti lelaki berkenaan, namun menyatakan individu berkenaan disabitkan atas aktiviti perisikan dan pengintipan yang dilakukannya untuk faedah rejim Zionis.

Pada Disember 2022, republik Islam itu turut menggantung empat lagi individu yang disabitkan bersalah kerana bekerjasama dengan perkhidmatan perisikan Israel.

Tehran menuduh Israel melakukan gelombang serangan sabotaj dan pembunuhan yang menyasarkan program nuklearnya.

Menurut kumpulan hak asasi manusia termasuk Amnesty International, Iran menghukum mati ramai individu setiap tahun, lebih tinggi berbanding negara lain kecuali China. - AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI