fb fb fb fb fb

Israel serang pangkalan pertahanan udara Syria

FOTO REUTERS

AMMAN, 29 Disember- Israel melakukan serangan udara yang menyasarkan pangkalan pertahanan udara utama Syria semalam dalam kempen terbarunya selepas perang di Gaza pada 7 Oktober lalu, kata tentera Syria dan sumber perisikan.

Memetik sumber tentera Syria, media kerajaan sebelum ini berkata serangan peluru berpandu yang datang dari arah Bukit Golan yang diduduki Israel menyasarkan beberapa kawasan yang tidak dikenal pasti.

"Pertahanan udara kami diceroboh oleh peluru berpandu, yang berjaya kami jatuhkan dengan hanya mengalami beberapa kerosakan infrastruktur," kata sumber tentera Syria.

Reuters tidak dapat mengesahkan laporan dan tiada komen segera daripada tentera Israel.

Sejak serangan 7 Oktober, Israel meningkatkan serangannya ke atas sasarannya termasuk menyerang pertahanan udara tentera Syria dan beberapa tentera negara berkenaan.

Serangan itu dipercayai menyasarkan pangkalan pertahanan udara tentera Syria dan stesen radar di kawasan Tel al-Sahn di wilayah Sweida di barat daya Syria, menurut sumber perisikan tentera Syria dan seorang lagi pegawai keselamatan serantau.

Bulan lalu, satu lagi sistem pertahanan anti-pesawat di Tel Qulaib serta Tel Maseeh di selatan Syria terjejas dan sumber perisikan kanan mendakwa ia sebagai kempen yang dipergiatkan oleh Israel untuk mengganggu sistem pertahanan udara Syria.

"Tehran sedang meningkatkan usahanya untuk menyediakan Syria dengan sistem pertahanan udara yang berpotensi menghakis keberkesanan serangan Israel," kata satu lagi sumber tentera serantau.

"Ini berkaitan dengan pengiraan perang Gaza sekiranya konflik di Asia Barat khususnya di Palestin, 'merebak'," tambahnya.

Pejuang yang bersekutu dengan Iran, termasuk Hizbullah, kini menguasai kawasan yang luas di timur, selatan dan barat laut Syria dan di beberapa pinggir bandar di sekitar ibu negara. - REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI