TEHRAN, 2 Disember- Menteri Luar Iran, Hossein Amir-Abdollahian berkata tindakan rejim Zionis Israel melancarkan semula serangan terhadap rakyat Gaza menunjukkan sikap tidak kisah rejim ini terhadap permintaan masyarakat dunia.
Amir-Abdollahian menekankan bahawa semua negara Islam mesti melipatgandakan usaha untuk menghentikan jenayah perang itu.
Beliau berkata demikian dalam perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari Oman Sayyid Badr al-Busaidi pada Jumaat.
"Semasa lawatan saya ke Beirut minggu lalu, saya dimaklumkan bahawa jika serangan rejim Israel berulang keadaan mungkin akan menjadi lebih buruk berbanding sebelum ini," kata Amir-Abdollahian, lapor Agensi Berita Iran.
Sejumlah warga awam Palestin, terutamanya kanak-kanak dan wanita terbunuh atau cedera pada Jumaat apabila tentera penceroboh Israel meneruskan serangan selepas tempoh jeda kemanusiaan di Semenanjung Gaza berakhir.
Jeda kemanusiaan sementara hasil daripada perantaraan Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat itu berlangsung selama tujuh hari.- BERNAMA-IRNA