fb fb fb fb fb

Iran berkabung lima hari, Mokhber dilantik presiden sementara

Foto AFP

TEHRAN, 21 Mei- Iran akan berkabung selama lima hari susulan kematian Presidennya, Ebrahim Raisi yang meninggal dunia akibat nahas helikopter, Ahad lalu.

Pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei berkata Naib Presiden Iran, Mohammad Mokhber, 68, akan memikul tanggungjawab sebagai presiden sementara.

Media tempatan memaklumkan bahawa pemilihan menggantikan Raisi akan diadakan pada 28 Jun ini.

Sementara, Ketua Angkatan Tentera Iran, Mohammad Bagheri mengarahkan satu jawatankuasa berpangkat tinggi melancarkan siasatan ke atas punca nahas helikopter itu.

Terdahulu, Raisi, 63 dan Menteri Luar Iran, Hossein Amir-Abdollahian serta beberapa yang lain maut apabila pesawat itu terhempas di sebuah kawasan pergunungan di barat laut Iran.

Upacara pengebumian ditetapkan bermula hari ini di Tabriz, wilayah Azerbaijan Timur.

Ribuan rakyat Iran berkumpul di Dataran Valiasr tengah Tehran untuk memberi penghormatan kepada Raisi dan mangsa-mangsa korban tersebut.- AFP

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM