fb fb fb fb fb

Iran beri amaran, senaraikan tentera Eropah sebagai kumpulan pengganas

(Hossein Salami (kiri) dan Hossein Amir-Abdollahian, menghadiri mesyuarat
parlimen di Tehran/AFP)

TEHRAN, 22 Januari- Tehran memberi amaran kepada Kesatuan Eropah (EU) bahawa ia akan mengambil langkah "timbal balik" selepas Parlimen Eropah mengundi untuk menyenaraikan Kor Pengawal Revolusi Iran sebagai kumpulan pengganas.

"Parlimen Eropah telah menikam dirinya sendiri," kata Menteri Luar, Hossein Amir-Abdollahian di Twitter.

“Parlimen (Iran) sedang berusaha untuk meletakkan elemen tentera negara Eropah dalam senarai pengganas,” tambah beliau.

Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf pula mengumumkan bahawa badan perundangan "akan bertindak balas serta-merta dan tegas terhadap sebarang tindakan meletakkan Pengawal Revolusi dalam senarai sekatan atau senarai kumpulan pengganas".

Beliau yang juga bekas komander tentera udara Pengawal Revolusi menegaskan bahawa parlimen akan "mengiktiraf tentera negara-negara Eropah sebagai kumpulan pengganas".

Rabu lepas, Parlimen Eropah mengundi untuk memasukkan Pengawal Revolusi dalam senarai pengganas blok 27 negara itu "berdasarkan kegiatan pengganasnya, penindasan penunjuk perasaan dan pembekalan dron ke Rusia".

Undian itu tidak mengikat tetapi dibuat menjelang perbincangan Menteri Luar EU minggu depan tentang cadangan mengetatkan sekatan yang dikenakan terhadap Iran.

Amerika Syarikat telah meletakkan kedua-dua Pengawal Revolusi Iran dan cabang asingnya, Pasukan Quds dalam senarai "organisasi pengganas asing". -AFP

(Hossein Amir-Abdollahian, berucap di parlimen di Tehran/AFP)

Media Baharu