fb fb fb fb fb

Insiden tembakan di gereja Michigan, dua maut termasuk suspek

Foto Reuters

MICHIGAN, 29 September- Dua orang dilaporkan maut termasuk suspek, dalam insiden tembakan di sebuah gereja di Grand Blanc, Michigan.

Menurut polis tempatan pada Ahad, gereja berkenaan turut dilaporkan terbakar susulan kejadian tersebut, bagaimanapun berjaya dipadamkan.

Rakaman di media sosial sebelum itu menunjukkan asap tebal keluar dari bangunan berkenaan ketika pasukan bomba menyembur air bagi memadam kebakaran, manakala beberapa trak bomba dan kenderaan kecemasan dilihat berada di lokasi.

Ketua Polis Grand Blanc Township, William Renye, dalam sidang media berkata seorang suspek lelaki berusia 40 tahun telah memandu kenderaannya ke dalam kawasan gereja ketika upacara keagamaan sedang berlangsung.

Suspek kemudian melepaskan tembakan menggunakan senjata automatik.

Beliau memaklumkan beberapa individu kini berada dalam keadaan kritikal dan pihak berkuasa menjangkakan terdapat lagi mangsa di kawasan kebakaran tersebut.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dalam hantaran di laman Truth Social menyifatkan insiden itu sebagai “sangat mengerikan” dan mendakwa ia merupakan “satu lagi serangan yang menyasarkan penganut Kristian.”

Grand Blanc, sebuah bandar dengan kira-kira 7,700 penduduk, terletak kira-kira 97 kilometer barat laut Detroit. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM