FOTO AGENSI
IRAQ, 10 Februari- Iraq akhirnya selesai membuat bayaran pampasan sebanyak 52.4 bilion dolar kepada individu, syarikat dan kerajaan yang musnah akibat pencerobohannya di Kuwait pada 1990.
Jawatankuasa Pampasan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) berkata, sebanyak 2.7 juta permohonan pampasan bernilai 352.5 bilion dolar diterima namun hanya 1.5 juta permohonan yang memenuhi syarat diluluskan.
Nilai tuntutan terbesar adalah melibatkan pampasan berjumlah 14.7 bilion untuk Kuwait Petroleum Corporation atas kerosakan yang dialaminya selepas tentera Iraq membakar telaga minyak.
Jawatankuasa Pampasan yang berpangkalan di Geneva itu berkata, dengan pembayaran terakhir pampasan pada 13 Januari 2022, semua pampasan yang diluluskan telahdibayar sepenuhnya.
Sehubungan itu, jawatankuasa itu mengesahkan Kerajaan Iraq sudah memenuhi kewajipan antarabangsanya untuk membayar pampasan kepada semua pemohon yang diluluskan.
Jawatankuasa tersebut dibentuk oleh Majlis Keselamatan PBB selepas pendudukan Iraq selama tujuh bulan dan kekalahan tentera Presiden, Saddam Hussein dalam Perang Teluk kedua yang diketuai Amerika Syarikat.
Ia menerima sebahagian daripada hasil jualan minyak, dengan peratusannya berbeza-beza dengan jumlah akhir sebanyak tiga peratus selama tiga puluh tahun. -AFP