fb fb fb fb fb

Konflik Laut China Selatan: China selar tindakan Kanada sokong Filipina

FOTO REUTERS

BEIJING, 14 Disember - China menyelar tindakan Kanada yang menyokong Filipina berhubung insiden Laut China Selatan.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan kedutaan China di Kanada, negara Tembok Besar itu menuduh tindakan Kanada sebagai campur tangan yang boleh mengancam kedaulatan di Laut China Selatan.

"Laut China Selatan merupakan kawasan beberapa negara dan tidak seharusnya dijadikan sebagai kawasan konflik oleh Kanada, Amerika Syarikat (AS) dan negara lain bagi mengejar kepentingan geopolitik masing-masing", kata kenyataan itu lagi.

“Sebagai sebuah negara di luar rantau ini, Kanada telah secara terang-terangan menyokong Filipina mencabuli kedaulatan China, melanggar tujuan dan prinsip Piagam PBB.

"Tindakan dilakukan oleh Kanada turut menjejaskan keamanan dan kestabilan serantau,” kata jurucakap kedutaan itu lagi.

Minggu lalu, Kanada dalam satu kenyataan mengecam tindakan yang diambil oleh China terhadap kapal Filipina di Laut China Selatan.

Sebelum ini, Manila menuduh Pengawal Pantai China menghadang dan melepaskan tembakan meriam air terhadap sebuah kapal bekalan tentera Filipina yang dikatakan sedang dalam misi rutin bagi pembekalan semula dan penggiliran tentera di kapal perang berkenaan.

China yang menuntut keseluruhan Laut China Selatan berulang kali menuduh kapal Filipina menceroboh kedaulatan negara tersebut.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD