(Aktivis Persekutuan Pertubuhan Sinhala membantah kenaikan kos sara hidup
di luar pejabat hadapan Bank Pusat Sri Lanka di Colombo/AFP)
COLOMBO, 18 Ogos- Ekonomi Sri Lanka dijangka menguncup sekurang-kurangnya lapan peratus ke paras tertinggi tahun ini, kata ketua bank pusat negara itu.
Bank Pusat Sri Lanka sebelum ini mengunjurkan penyusutan 7.5% untuk tahun kalendar, mengatasi rekod 3.6 pada 2020 ketika wabak COVID-19 melanda.
"Tetapi sekarang kami fikir ia akan melebihi 8.0%," kata gabenor Nandalal Weerasinghe kepada pemberita di Colombo.
Beliau berkata inflasi yang ketika ini 60% akan memuncak pada "kira-kira 65%" pada September, diikuti penurunan beransur-ansur disebabkan permintaan yang lebih rendah dan peningkatan dalam bekalan.
Kekurangan pertukaran asing yang mencetuskan krisis ekonomi telah berkurangan berikutan aliran masuk matawang yang lebih baik dan import yang lebih rendah, tambahnya.
"Kami kini mampu membiayai import paling penting seperti petrol dan diesel serta ubat-ubatan," kata Weerasinghe.
(Bank Pusat Sri Lanka sebelum ini mengunjurkan penyusutan 7.5% untuk tahun kalendar,
mengatasi rekod 3.6 pada 2020 ketika wabak COVID-19 melanda/AFP)
Pada kemuncak kekurangan bahan bakar di Sri Lanka, pemandu terpaksa menunggu berhari-hari dan kadangkala berminggu-minggu untuk mengepam minyak, tetapi catuan bahan bakar yang ketat telah memendekkan barisan beratur.
Sri Lanka gagal membayar hutang asingnya berjumlah AS$51 bilion pada April dan sedang memohon jaminan daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) selepas beberapa bulan kekurangan makanan, bahan bakar dan ubat-ubatan. -AFP