fb fb fb fb fb

38 maut dalam kebakaran hutan di Algeria

(Kakitangan memeriksa kerosakan kebakaran di sebuah restoran di taman hidupan liar di luar
bandar El Kala di Algeria/AFP)

ALGIERS,18 Ogos- Anggota bomba Algeria bergelut mengawal beberapa siri kebakaran yang tercetus akibat kemarau dan gelombang panas yang membara, yang telah meragut jiwa sekurang-kurangnya 38 orang.

Kebakaran hutan yang membawa maut telah menjadi fenomena tahunan di negara Afrika Utara itu, ekoran perubahan iklim mengubah kawasan luas menjadi mudah terbakar.

Menurut pelbagai sumber termasuk wartawan tempatan dan perkhidmatan bomba, sekurang-kurangnya 38 orang terbunuh, kebanyakannya di wilayah El Tarf berhampiran sempadan timur Algeria dengan Tunisia yang terbakar pada suhu 48 darjah Celsius.

Sekurang-kurangnya 200 orang lagi melecur atau mengalami masalah pernafasan akibat asap tebal, menurut pelbagai media Algeria.

Seorang wartawan di El Tarf menggambarkan "pemandangan kemusnahan" di jalan ke El Kala di timur laut jauh negara itu.

“Puting beliung api menyapu bersih segala-galanya dalam beberapa saat,” katanya kepada AFP melalui telefon. "Kebanyakan mereka yang maut dikepung api yang marak ketika melawat taman hidupan liar."

Perkhidmatan kecemasan masih memadamkan kebakaran di sekitar tasik Tonga, katanya.

Media tempatan melaporkan bahawa lapan orang mati dibakar dalam sebuah bas berhampiran bandar yang mempunyai 100,000 penduduk itu.

Televisyen negara melaporkan bahawa Perdana Menteri Ayman Benabderrahmane melawat kawasan terjejas pada pagi Khamis. -AFP

(Kebakaran marak di wilayah El Tarf Algeria pada 17 Ogos 2022/AFP)

Media Baharu