LONDON, 15 Mac – Seorang kapten kapal warga Rusia telah dihadapkan ke mahkamah di United Kingdom pada Sabtu atas pertuduhan membunuh akibat kecuaian melampau, susulan perlanggaran antara kapal kontena yang dikendalikannya dengan sebuah kapal tangki Amerika Syarikat awal minggu ini.
Vladimir Motin, 59, merupakan kapten kapal Solong, yang berdaftar di Portugal, ketika kapal itu bertembung dengan Stena Immaculate, kapal tangki yang membawa bahan api jet tentera, pada pagi Isnin di luar pantai timur Britain.
Pendakwa raya Amelia Katz memaklumkan kepada Mahkamah Majistret Hull bahawa Solong bergerak pada kelajuan lebih 15 knot (27.8 kilometer sejam) ketika perlanggaran berlaku, meskipun Stena Immaculate telah berlabuh di lokasi sama selama lebih 15 jam sebelum kejadian.
“Selama lebih 40 minit sebelum perlanggaran, Solong berada dalam laluan terus ke arah Stena Immaculate yang tidak bergerak,” kata Katz.
Beliau turut mendedahkan bahawa tiada cubaan komunikasi daripada Solong bagi memberi amaran mengenai perlanggaran yang bakal berlaku, dan kapal itu juga tidak mengubah haluan atau kelajuannya.
Motin, yang dituduh pada malam Jumaat, hadir di mahkamah berhubung kematian Mark Angelo Pernia, 38, seorang kru Solong warganegara Filipina.
Menurut Katz, kesemua 23 kru Stena Immaculate dan 13 daripada 14 kru Solong berjaya diselamatkan, namun usaha untuk mencari Pernia gagal.
Motin tidak membuat permohonan untuk diikat jamin dan telah direman. Perlanggaran tersebut mengakibatkan letupan besar dan tumpahan bahan api jet ke laut.
Bagaimanapun, kebimbangan mengenai bencana alam sekitar semakin reda selepas penilaian mendapati bahawa kebanyakan bahan api telah terbakar dan tiada tanda-tanda kebocoran lain daripada kedua-dua kapal.- REUTERS