fb fb fb fb fb

Indonesia mulakan vaksinasi terhadap ternakan cegah penyakit kuku dan mulut

(Seorang pekerja memandikan lembu debelum dijual di Depok, selatan Jakarta, Indonesia.
Gambar diambil pada 7 September 2016/FOTO REUTERS)

JAKARTA, 15 Jun- Indonesia melancarkan kempen vaksinasi terhadap ternakan di seluruh negara susulan kemunculan semula wabak penyakit kuku dan mulut (FMD) yang boleh membawa maut, lapor Xinhua.

Penyakit yang sangat mudah menular melibatkan haiwan ternakan termasuk lembu, biri-biri, babi dan kambing, kini telah merebak di 181 kawasan selepas dikesan di wilayah Jawa Timur pada akhir April.

Pada Selasa, Kementerian Pertanian Indonesia memulakan kempen vaksinasi FMD di Sidoarjo, Jawa Timur, antara kawasan yang terjejas teruk akibat wabak itu.

Ketika ini, pihak berkuasa menggunakan vaksin yang diimport dari Perancis sementara membangunkan vaksin buatan tempatan.

Sekurang-kurangnya 10,000 dos vaksin FMD akan tiba pada Ahad.

(Seorang pekerja menunjukkan mulut lembu
di Depok di pinggir Jakarta, Indonesia,14 Jun 2022/FOTO REUTERS)


“Kami akan mengutamakan pemberian suntikan kepada ternakan yang sihat di zon merah dan kuning, yang paling teruk dilanda penyakit susulan jumlah vaksin yang terhad,” kata ketua pengarah bahagian ternakan dan kesihatan haiwan, Nasrullah memberitahu media tempatan.

Sehingga kini, lebih 150,000 haiwan dilaporkan dijangkiti wabak itu dan sekurang-kurangnya 760 haiwan telah mati akibat penyakit itu, menurut data rasmi Pasukan Petugas FMD Kebangsaan.

Lebih 41,000 ternakan telah pulih setakat ini berikutan pihak berkuasa mengarahkan paramedik veterinar mengedarkan ubat-ubatan, antibiotik, vitamin, penggalak imun serta agen pembasmi kuman kepada penternak.

Menurut Nasrullah, haiwan yang telah pulih daripada FMD tidak disuntik vaksin kerana sudah mempunyai imuniti terhadap virus itu.

Sebelum ini, Indonesia telah diiktiraf bebas FMD sejak 1986, status yang diperakui di peringkat antarabangsa oleh Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia pada tahun 1990.
-BERNAMA

Media Baharu