fb fb fb fb fb

Indonesia mahu cadangkan Reog, Kolintang, Kebaya sebagai warisan budaya UNESCO

FOTO REUTERS

JAKARTA, 17 November- Menteri Kebudayaan Indonesia Fadli Zon mengumumkan cadangan untuk mengiktiraf tarian tradisional Reog Ponorogo, alat muzik Kolintang dan kebaya sebagai warisan budaya tidak ketara oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

"Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kami mempertingkatkan usaha untuk memelihara warisan budaya kami. Langkah penting seterusnya adalah penghantaran permohonan kepada UNESCO pada Disember 2024," kata Fadli pada Majlis Penghargaan Warisan Budaya Indonesia 2024 (AWBI) di sini, Sabtu, lapor agensi berita ANTARA.

Fadli berkata dengan mencalonkan khazanah budaya ini, kerajaan berusaha untuk mempromosikan budaya Indonesia secara global dan menyerlahkan nilai-nilai murni yang tertanam di dalamnya, seperti kerjasama, saling menghormati dan kepelbagaian.

"Indonesia sememangnya antara negara yang paling kaya dengan budaya di dunia. Setelah mengembara ke pelbagai tempat, saya boleh berkata tiada negara lain yang memiliki warisan budaya yang begitu pelbagai dan penuh warna-warni," tegas Fadli.

Untuk meningkatkan lagi usaha pemeliharaan budaya, kerajaan Indonesia telah menggubal Undang-undang Nombor 5 tahun 2017, yang menggalakkan pembangunan nilai budaya mulia dan mengukuhkan identiti kebangsaan.

Selain itu, Undang-undang Nombor 11 tahun 2010 yang memastikan perlindungan, pembangunan dan penggunaan warisan budaya yang mampan sebagai komponen penting identiti Indonesia.

Beliau menekankan kepentingan penglibatan masyarakat, sokongan akademik, ekspresi artistik dan penglibatan belia dalam memelihara warisan yang tidak ternilai ini.

"Usaha ini tidak boleh dilakukan oleh kerajaan semata-mata. Penyertaan aktif masyarakat, ahli akademik, artis dan generasi muda adalah kunci kejayaan kita dalam memelihara warisan budaya," katanya.- BERNAMA-ANTARA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE