fb fb fb fb fb

India hantar bantuan ke Myanmar

Pasukan penyelamat di tapak bangunan yang runtuh selepas gempa bumi kuat melanda bahagian tengah Myanmar/ Reuters

NEW DELHI, 29 Mac- India telah menghantar penerbangan bantuan kemanusiaan ke Myanmar selepas gempa dengan magnitud 7.7 melanda negara itu.

Ketua Junta Myanmar Min Aung Hlaing mengeluarkan rayuan untuk bantuan antarabangsa susulan bencana itu telah membunuh sekurang-kurangnya 694 individu dan mencederakan 1,670 yang lain.

Sebelum ini rejim tentera negara itu menolak bantuan asing biarpun selepas dilanda bencana alam.

Menteri Luar India Subrahmanyam Jaishankar memaklumkan sebuah pesawat pengangkutan tentera C-130 telah dihantar membawa kit kebersihan, selimut, bungkusan makanan dan keperluan lain.

"Pasukan mencari dan menyelamat serta pasukan perubatan turut mengiringi penerbangan ini.

"Kami akan terus memantau perkembangan dan lebih banyak bantuan akan menyusul," kata Subrahmanyam Jaishankar.

Gempa bumi pada Jumaat itu menyebabkan bangunan, jambatan dan jalan raya turut terkesan berikutan gegaran merentasi kawasan Myanmar termasuk bandar kedua terbesar, Mandalay.

Menurut ahli geologi Amerika Syarikat (AS) ia adalah gempa bumi terbesar yang melanda Myanmar dalam lebih satu abad

Gegaran berkenaan cukup kuat hingga turut merosakkan bangunan di Bangkok, ratusan kilometer (batu) jauhnya dari pusat gempa.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI