fb fb fb fb fb

Angka kematian gempa Myanmar meningkat kepada hampir 700

Anggota penyelamat di lokasi bangunan runtuh akibat gempa bumi di tengah Myanmar/ Reuters

YANGON, 29 Mac- Angka kematian akibat gempa bumi kuat yang melanda di Myanmar meningkat kepada hampir 700 nyawa, dengan hampir 1,700 yang lain cedera, kata Ketua Junta Myanmar Jeneral Min Aung Hlaing pada Sabtu.

Gempa berukuran 7.7 magnitud itu melanda barat laut bandar Sagaing di tengah Myanmar pada Jumaat, menyebabkan kemusnahan di sebahagian besar negara itu.

Darurat diisytiharkan di enam wilayah termasuk Mandalay, bandar kedua terbesar di negara itu, yang berhampiran dengan pusat gempa.

Sementara itu pasukan maklumat junta dalam satu kenyataan memaklumkan, kira-kira 694 kematian disahkan di wilayah Mandalay sahaja, bersama 1,670 individu lagi cedera.

Menurut ahli geologi Amerika Syarikat (AS), ia adalah gempa bumi terbesar melanda Myanmar dalam tempoh lebih satu abad. Gegaran berkenaan cukup kuat untuk merosakkan bangunan di seluruh Bangkok, ratusan kilometer (batu) dari pusat gempa.

Di Thailand pasukan penyelamat di ibu negara itu bertungkus lumus sepanjang malam mencari pekerja yang terperangkap berikutan bangunan 30 tingkat yang sedang dalam pembinaan turut runtuh.

Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt memaklumkan kira-kira 10 individu telah disahkan maut di seluruh bandar itu.

Bagaimanapun 100 pekerja masih tidak ditemui di bangunan yang berhampiran dengan pasar Chatuchak.

"Kami melakukan yang terbaik dengan sumber yang ada. Keutamaan kami adalah bertindak secepat mungkin untuk menyelamatkan mereka semua," kata Chadchart kepada pemberita di tempat kejadian.

Pihak berkuasa bandar Bangkok berkata mereka akan mengerahkan lebih 100 jurutera untuk memeriksa bangunan untuk keselamatan selepas menerima lebih 2,000 laporan kerosakan.

Kira-kira 400 penduduk terpaksa bermalam di kawasan terbuka di taman bandar kerana kediaman mereka dikhuatiri tidak selamat.

Gempa bumi amat jarang berlaku di Bangkok, dan gegaran pada Jumaat menyebabkan penduduk di seluruh bandar bergegas ke jalan dalam keadaan cemas.- AFP

 

BERITA BERKAITAN:

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI