WASHINGTON, 20 Oktober- India akan terus berdepan tarif tinggi dari Amerika Syarikat (AS) sekiranya tidak menarik diri daripada kerjasama dengan Rusia dalam hal pembelian minyak.
Kenyataan itu ditegaskan Presiden Donald Trump dalam satu temu bual media di Washington, dengan nada sinis mengancam India untuk mengehadkan pembelian.
"Saya bercakap dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi dan beliau kata dia tidak akan teruskan urusan minyak dengan Rusia,” kata Trump kepada pemberita ketika berada di dalam pesawat Air Force One, mengulangi kenyataan sama yang dibuatnya minggu lalu.
"Kalau mereka nak kata begitu, maka mereka akan terus dikenakan tarif yang sangat tinggi, dan mereka pun tak mahu itu berlaku," ulas Trump mengenai kenyataan India yang mendakwa tidak mengetahui sebarang perbualan antara Modi dan Trump.
Pembelian minyak Rusia menjadi antara isu utama yang mencetus ketegangan dalam rundingan perdagangan yang berlarutan antara Washington dan New Delhi.
Separuh daripada tarif 50 peratus yang dikenakan AS ke atas barangan India adalah sebagai balasan kerana pembelian itu.
Menurut kerajaan AS, hasil daripada eksport petroleum Rusia digunakan untuk membiayai perang negara itu di Ukraine. -REUTERS