fb fb fb fb fb

India adakan pilihan raya negeri di Jammu dan Kashmir September ini

Foto Fail/ REUTERS

NEW DELHI, 16 Ogos - Suruhanjaya Pilihan Raya India pada Jumaat mengumumkan pilihan raya peringkat negeri bagi Jammu dan Kashmir, lima tahun selepas Kerajaan India memansuhkan status autonomi yang diberikan kepada wilayah majoriti Muslim itu.

Pengundian bagi 90 kerusi dewan undangan negeri itu akan diadakan dalam tiga fasa iaitu pada 18 September, 25 September dan 1 Oktober.

Penduduk Kashmir telah lama mengadu mengenai kekurangan perwakilan dan hak sejak Perkara 370 dalam Perlembagaan India yang memberikan status istimewa kepada Jammu dan Kashmir, dimansuhkan pada Ogos 2019.

Langkah itu juga membahagikan negeri berkenaan dengan menjadikan kepada dua wilayah iaitu Jammu dan Kashmir yang kini ditadbir oleh Kerajaan Persekutuan bersama Ladakh.

Suruhanjaya Pilihan Raya turut mengumumkan pilihan raya di negeri Haryana yang bersempadan dengan Delhi pada 1 Oktober.

Penggal Dewan Undangan Negeri Haryana yang terdiri daripada 90 kerusi akan tamat pada November.

Kira-kira 8.8 juta orang layak mengundi di Jammu dan Kashmir, manakala jumlah pengundi di Haryana adalah 20 juta orang.

Pengiraan undi akan berlangsung pada 4 Oktober.- BERNAMA

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI