fb fb fb fb fb

Gencatan senjata: India, Pakistan adakan perbincangan lanjut

Foto REUTERS

NEW DELHI, 12 Mei-Ketegangan di sempadan India-Pakistan mula reda selepas kedua-dua negara bersetuju dengan gencatan senjata pada Sabtu, yang disusuli dengan perbincangan rasmi antara ketua operasi ketenteraan masing-masing pada Isnin.

Pertemuan itu dijangka berlangsung pada jam 12 tengah hari waktu tempatan bagi membincangkan langkah seterusnya dalam usaha mengekalkan keamanan di sempadan yang telah menyaksikan pertempuran paling sengit dalam hampir tiga dekad.

Menurut Tentera India, malam Ahad merupakan malam pertama yang aman selepas beberapa hari tembakan balas yang berterusan di sepanjang Garisan Kawalan (LoC) di wilayah Himalaya.

Namun, beberapa sekolah di kawasan sempadan masih ditutup sebagai langkah berjaga-jaga.

Meskipun gencatan senjata telah dipersetujui, tentera India telah menghantar mesej melalui talian hotline kepada Pakistan berkenaan pelanggaran gencatan senjata yang berlaku sehari sebelumnya, sekali gus menunjukkan kesediaan India untuk bertindak balas jika insiden serupa berulang.

Gencatan senjata berkenaan diumumkan hasil intensif dan usaha diplomasi, dengan tekanan daripada Amerika Syarikat.

Presiden AS Donald Trump memainkan peranan dalam memudahkan persetujuan tersebut.

Islamabad telah mengucapkan terima kasih kepada Washington atas usaha tersebut, sementara New Delhi masih belum memberi sebarang komen rasmi mengenai penglibatan AS.

India dalam pada itu menegaskan bahawa semua pertikaian dengan Pakistan, termasuk isu Kashmir, harus diselesaikan secara dua hala dan menolak penglibatan mana-mana pihak ketiga, termasuk tawaran Trump untuk menjadi orang tengah.

Konflik kedua-dua negara tercetus selepas India menuduh Pakistan bertanggungjawab atas serangan yang meragut nyawa 26 pelancong.

Sebagai tindak balas, India melancarkan serangan ke atas sembilan tapak yang didakwa sebagai infrastruktur pengganas di Pakistan dan Kashmir yang dikuasai Pakistan.

Namun, Islamabad menafikan tuduhan tersebut dan menyatakan tapak-tapak yang diserang adalah kawasan awam. Pakistan turut menyeru agar siasatan secara telus dijalankan New Delhi.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD