JAKARTA, 9 September - Pelantikan Purbaya Yudhi Sadewa sebagai Menteri Kewangan Indonesia menggantikan Sri Mulyani Indrawati menimbulkan persoalan mengenai keupayaannya mengurus dasar fiskal negara.
Penganalisis Kanan Institut Pembangunan Ekonomi dan Kewangan (INDEF), Andry Satrio berkata pasaran memberi reaksi negatif sebaik sahaja pengumuman dibuat, termasuk penyusutan nilai Rupiah.
“Kami masih melihat kemampuan Purbaya dalam mengurus fiskal dipertikai. Reaksi pasaran ketika beliau diumumkan sebagai Menteri Kewangan, termasuk pelemahan Rupiah, mencerminkan sentimen agak negatif,” katanya.
Menurut Andry, Sri Mulyani ketika era Joko Widodo mempunyai kuasa penuh terhadap bajet negara. Namun, pada era Presiden Prabowo Subianto, beliau terikat dengan pelaksanaan program populis sehingga ruang diskripsinya terhad.
“Apa yang Presiden Prabowo mahu ialah seorang menteri yang mengikut kehendaknya. Saya percaya Purbaya akan menjadi seorang ‘yes man’ yang bertindak mengikut arahan presiden,” jelasnya.
Beliau menambah, keutamaan rakyat kini adalah isu ketidakadilan fiskal yang perlu segera ditangani.
“Sebagai contoh, bajet polis boleh meningkat lebih enam peratus, tetapi perlindungan sosial tidak naik tiga peratus pun. Ketidakseimbangan peruntukan ini menjadi kebimbangan utama rakyat,” ujarnya.
Pelantikan Purbaya, 61 tahun, hadir pada waktu mencabar ketika Indonesia berdepan protes besar-besaran yang berlarutan lebih dua minggu.
Sri Mulyani, antara menteri kewangan paling lama berkhidmat, sebelum ini mendapat kepercayaan pelabur dalam dan luar negara. Namun, kenyataan lantang Purbaya yang pernah mengkritik Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dengan melabelnya sebagai “bodoh” menimbulkan persoalan tentang gaya kepimpinannya. - Reuters