fb fb fb fb fb

Aktivis Korea Selatan kecam tindakan keras imigresen Amerika Syarikat

Aktivis Korea Selatan berhimpun di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di Seoul.

SEOUL, 9 September - Aktivis Korea Selatan berhimpun di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di Seoul bagi membantah serbuan imigresen besar-besaran di sebuah kilang bateri kenderaan elektrik di Georgia, minggu lalu.

Dalam operasi itu, kira-kira 300 pekerja Korea Selatan bersama 175 yang lain ditahan di tapak projek bernilai AS$4.3 bilion milik Hyundai Motor dan LG Energy Solution. Ia merupakan operasi penguatkuasaan tunggal terbesar dalam sejarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat.

Peguam hak asasi manusia, Lee Sang-hyun menegaskan tindakan menggari dan mengikat pekerja ketika penahanan jelas melanggar piawaian antarabangsa.

“Mereka menyeret pekerja dengan gari dan rantai. Ini adalah pelanggaran hak asasi manusia yang nyata,” katanya.

Seorang lagi aktivis, Ko Gi-bok pula menyifatkan operasi itu mempunyai mesej politik tertentu.

“Amerika Syarikat mendesak Korea Selatan memperkukuh pakatan dan pelaburan. Namun, pada masa sama mereka menyasarkan pekerja Korea Selatan. Kami percaya tindakan ini dibuat untuk menarik sokongan kelompok sayap kanan ‘America First’,” ujarnya.

Tindakan keras itu mencetuskan kejutan di Korea Selatan yang ketika ini sedang memuktamadkan perjanjian perdagangan dengan Washington sejak Julai lalu.

TUN JULIA MOHD TAHIR