BEIJING, 20 Jun- Import minyak China dari Rusia meningkat 55 peratus pada Mei, ketika kuasa Barat mengenakan sekatan terhadap import bahan bakar dari Moscow berikutan pencerobohannya di Ukraine.
Data kastam menunjukkan ekonomi kedua terbesar dunia itu mengimport kira-kira 8.42 juta tan minyak dari Rusia bulan lalu, mengatasi import dari Arab Saudi.
Jumlah itu juga meningkat daripada 5.44 juta tan yang diimport China pada Mei 2021, menurut angka dari Pentadbiran Kastam, dan membantu Rusia mengatasi Arab Saudi sebagai sumber minyak utama China.
(Foto hiasan/AFP)
Awal bulan ini, media negara China melaporan bahawa Beijing bersedia untuk "memperhebat penyelarasan strategik antara kedua-dua negara".
Minggu lalu, Presiden Xi Jinping memberi jaminan kepada rakan jawatannya dari Rusia, Vladimir Putin tentang sokongan China terhadap "kedaulatan dan keselamatan" Rusia.
Menurut Kremlin, kedua-dua pemimpin telah bersetuju untuk meningkatkan kerjasama ekonomi dalam menghadapi sekatan Barat yang "melanggar undang-undang".
Barat telah menerima pakai sekatan yang tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap Rusia sebagai tindakan balas terhadap pencerobohan Ukraine, dan Moscow sedang mencari pasaran dan pembekal baharu untuk menggantikan firma asing utama yang meninggalkan Rusia berikutan pencerobohan itu.-AFP