WASHINGTON, 2 Jun- Tabung Kewangan Antarabangsa berkata pada Sabtu ia telah mencapai persetujuan awal dengan Niger mengenai semakan berkala beberapa program bantuan yang dijalankan di negara itu, menerusi pembiayaan berjumlah lebih AS$70 juta.
Perjanjian itu memerlukan kelulusan lembaga pengarah IMF, yang akan bermesyuarat pada Julai.
"Ini adalah semakan keempat dan kelima program bantuan kepada Niger, membenarkan pengeluaran AS$26.1 juta untuk menampung keperluan pembiayaan luar,"kata IMF.
Perjanjian itu juga meliputi semakan pertama Kemudahan Ketahanan dan Kelestarian, alat pembiayaan jangka panjang IMF untuk menangani risiko dan cabaran yang dikaitkan dengan perubahan iklim, membolehkan pengeluaran tambahan AS$45.3 juta.
IMF menyatakan "usaha berterusan Niger untuk memudahkan sistem cukai, menggalakkan pendigitalan pentadbiran hasil, dan menerima pakai strategi pengurusan hasil minyak yang bertujuan untuk melindungi bajet daripada turun naik harga minyak antarabangsa."
IMF adalah salah satu daripada beberapa institusi yang terus memberikan bantuan kepada Niger, yang presidennya Mohamed Bazoum telah digulingkan pada 2023 dalam rampasan kuasa tentera.
Amerika Syarikat, EU, Perancis dan Jerman telah menggantung beberapa program bantuan kepada Niger, salah satu negara termiskin di dunia.
Sementara itu, Bank Dunia pada Mei turut mengumumkan penyambungan semula beberapa projek di negara berkenaan.
Sekatan dalam sektor pertanian menyebabkan pertumbuhan ekonomi perlahan pada 2023, kepada 2.4 peratus, tahap yang sangat rendah bagi negara dengan purata pertumbuhan penduduk tahunan sebanyak 3.7 peratus.
Tetapi ekonomi Nigeri dijangka berkembang 10.6 peratus tahun ini, hasil daripada penarikan sekatan dan kekuatan dalam sektor minyak.-AFP