fb fb fb fb fb

Australia haramkan perkongsian pornografi 'deepfake'

FOTO HIASAN

SYDNEY, 2 Jun- Kerajaan Australia akan menguatkuasakan undang-undang baharu berkaitan kesalahan pornografi.

Undang-undang itu, yang akan diperkenalkan kepada parlimen pada minggu akan datang, membabitkan hukuman penjara sehingga enam tahun kerana berkongsi pornografi palsu tanpa persetujuan.

Penalti akan meningkat sehingga tujuh tahun jika pesalah didapati turut mencipta bahan tersebut.

"Bahan seksual eksplisit yang dicipta dan diubah secara digital yang dikongsi tanpa persetujuan adalah satu bentuk penderaan", kata Peguam Negara Mark Dreyfus dalam satu kenyataan pada Sabtu.

"Kami tahu ia sangat memberi kesan kepada wanita dan kanak-kanak perempuan yang menjadi sasaran kelakuan yang sangat menyinggung perasaan dan berbahaya ini. Ia boleh mendatangkan kemudaratan yang mendalam dan berpanjangan kepada mangsa."

Kesalahan jenayah baharu itu hanya terpakai kepada orang dewasa memandangkan kanak-kanak telah pun dilindungi bawah undang-undang penderaan kanak-kanak yang berasingan.

Negara-negara di seluruh dunia sedang bergelut dengan penyebaran pornografi palsu, bahan seksual eksplisit yang dicipta secara digital, biasanya dihasilkan dengan kecerdasan buatan (AI).

April lalu, Britain berkata ia akan mensabitkan penciptaan imej palsu seksual yang eksplisit tanpa persetujuan, dengan merancangan untuk mengenakan denda tanpa had dan juga penjara jika imej itu dikongsi secara meluas.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE