fb fb fb fb fb

Chile sertai Afrika Selatan dakwa Israel di ICJ

Gabriel Boric/AFP

VALPARAÍSO, 2 Jun- Chile menyertai Afrika Selatan membawa Israel ke muka pengadilan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi mendakwa negara haram itu melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

Presiden Gabriel Boric mengesahkan perkara itu ketika berucap di Kongres dekat sini semalam.

Beliau mengecam keadaan bencana kemanusiaan yang dilakukan Israel di Gaza dan mengesa tindak balas tegas daripada masyarakat antarabangsa.

"Chile akan menjadi pihak dan menyokong kes yang dikemukakan Afrika Selatan terhadap Israel di hadapan ICJ di The Hague, Belanda," kata Boric.

Negara itu telah mengiktiraf Palestin sebagai negara merdeka sejak 2011, dan Boric sebelum ini berkata perang di Gaza tiada justifikasi serta tidak boleh diterima.

Bulan lalu, Badan kehakiman tertinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) itu telah memerintahkan Israel menghentikan operasi ketenteraan di Rafah yang menjadi tempat berlindung kepada kira-kira 1.4 juta penduduk.

Bagaimanapun, Israel tidak mengendahkan perintah berkenaan hingga menyebabkan sekurang-kurangnya sejuta penduduk berpindah dari Rafah, menurut Agensi Bantuan dan Kerja PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA).

Sekurang-kurangnya 36,379 orang di Gaza dibunuh, kebanyakkannya orang awam dalam serangan dan pengeboman Israel sejak 7 Oktober tahun lalu. -AFP

SITI AISHAH MD ISA