fb fb fb fb fb

Houthi serang kapal perang AS di Laut Merah

Yahya Saree menerusi rakaman video yang dikongsi semalam

SANAA, 2 Jun- Kumpulan Houthi di Yaman melancarkan serangan peluru berpandu terbaharu di Laut Merah melibatkan enam operasi yang menyasarkan kapal perang Amerika Syarikat (AS).

Semalam, jurucakap tenteranya, Yahya Saree berkata, pihaknya telah menyasarkan aset-aset perang AS melibatkan kapal pengangkut pesawat, kapal pemusnah dan tiga kapal lain.

"Kami menyasarkan kapal induk AS iaitu Eisenhower di utara Laut Merah, dengan peluru berpandu dan dron," kata Saree sambil menambah ia adalah operasi kedua terhadap kapal pengangkut itu dalam tempoh 24 jam lalu.

Menurut Saree, operasi seterusnya menyasarkan kapal pemusnah AS, manakala empat lagi operasi menyasarkan kapal milik syarikat yang dilarang melalui Laut Merah termasuk kapal Maina yang pernah menjadi sasaran sebanyak dua kali di Laut Merah dan Laut Arab. Turut menjadi sasaran adalah kapal ALORAIQ di Lautan Hindi dan kapal ABLIANI di Laut Merah.

"Operasi telah berjaya mencapai objektif, dan serangan adalah tepat dan langsung.

"Angkatan Bersenjata Yaman (Houthi) berikrar terus menjalankan operasi ketenteraan ini sebagai sokongan dan solidariti dengan rakyat Palestin yang tertindas.

"(Selain) bagi menghadapi pencerobohan Amerika-British terhadap negara kami, yang menyokong musuh (Israel-Zionis)," katanya.

Selama berbulan-bulan, Houthi telah menyerang kapal-kapal yang dikaitkan dengan Israel di luar pantainya hingga memaksa kapal berkenaan mengubah laluan kargo ke laluan lebih jauh dan mahal di lautan sekitar selatan Afrika. -Reuters

SITI AISHAH MD ISA