fb fb fb fb fb

Ikan paus mati di Bali, kali ketiga pada April

(Ikan paus sperma yang ditemukan
di pantai Yeh Malet, Klungkung, Indonesia/AFP)

DENPASAR, 9 April- Seekor ikan paus Sperma sepanjang 17 meter (56 kaki) mati selepas terdampar di pantai di Bali.

Pegawai pemuliharaan berkata ini menjadikannya paus ketiga yang mendarat di pulau Indonesia hanya dalam masa seminggu.

Paus Sperma jantan ditemui terdampar di pantai Yeh Leh di daerah Jembrana, Bali barat pada petang Sabtu.

"Kami sedang berusaha untuk menarik bangkai itu ke pantai untuk memudahkan ujian nekropsi dan kami akan menanamnya selepas ujian selesai," kata Pegawai Marin dan Perikanan Tempatan, Permana Yudiarso kepada AFP hari ini.

Ini adalah ikan paus ketiga yang telah mendarat di Bali, destinasi popular untuk pelancong, pada bulan April sahaja.

Rabu lalu, seekor paus Sperma sepanjang 18 meter terdampar di daerah Klungkung, di pantai timur Bali.


(Pegawai marin melakukan ujian nekropsi ke atas bangkai ikan paus sperma/AFP)

Sebelum itu, ikan paus Bryde seberat lebih dua tan dan sekurang-kurangnya 11 meter panjang ditemui terdampar di pantai di Tabanan pada 1 April dan bangkainya telah reput apabila ditemui penduduk tempatan.

Yudiarso memberitahu AFP bahawa penilaian awal mereka ialah paus sperma yang ditemui pada Sabtu juga mati akibat sakit, "sama seperti paus yang ditemui terdampar beberapa hari lalu".

“Badan kelihatan kurus dan sakit-sakit,” katanya.

Yudiarso berkata ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga minggu untuk ujian nekropsi selesai.

Bagaimanapun, pakar forensik mendapati terdapat sedikit pendarahan dalam paru-paru ikan paus dan kolonnya dipenuhi cecair.

Polis telah mengepung lokasi itu bagi menghalang orang ramai daripada mencuri daging atau anggota badan mamalia tersebut.

Pada 2018, seekor paus sperma ditemui mati di Indonesia dengan lebih 100 cawan plastik dan 25 beg plastik di dalam perutnya, menimbulkan kebimbangan mengenai masalah sampah laut yang besar di kepulauan Asia Tenggara.

Indonesia adalah penyumbang kedua terbesar dunia kepada serpihan marin selepas China.

Media Baharu