fb fb fb fb fb

ICRC gesa perlindungan terhadap kakitangan perubatan di Lubnan

Serangan Israel ke atas kakitangan dan kemudahan kesihatan telah mengakibatkan hampir 100 kematian sepanjang tahun lalu/ Foto: IFRC

BEIRUT, 15 Oktober- Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa ( ICRC) menggesa sistem penjagaan kesihatan di Lubnan dilindungi susulan serangan Israel terhadap kakitangan perubatan semasa pertempuran antara Israel dan Hezbollah.

"Saya benar-benar… merayu untuk perlindungan pekerja penjagaan kesihatan, untuk ambulans, untuk hospital, untuk pusat kesihatan primer," kata pengarah wilayah ICRC,Nicolas Von Arx.

"Serangan ke atas kemudahan kesihatan amat membimbangkan," tambahnya.

Selepas hampir setahun tembakan rentas sempadan, Israel pada 23 September lalu secara mendadak meningkatkan serangan udaranya yang menyasarkan kumpulan Hezbollah di Lubnan.

Sekurang-kurangnya 1,315 orang telah terbunuh sejak itu, menurut pengiraan AFP.

Serangan Israel - kebanyakannya tertumpu di selatan dan timur negara itu, serta pinggir bandar selatan Beirut yang ramai penduduk dan telah memaksa 1.2 juta orang meninggalkan kediaman mereka.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia berkata daripada 207 pusat penjagaan kesihatan utama di kawasan konflik Lubnan, kini 100 telah ditutup kerana keganasan yang semakin meningkat.

Lima hospital telah ditutup akibat kerosakan struktur berikutan serangan, manakala serangan ke atas pekerja kesihatan dan kemudahan di Lubnan telah menyebabkan hampir 100 kematian dalam tempoh setahun.

"Kami sangat, sangat mengambil berat tentang perpindahan, tentang fungsi sistem penjagaan kesihatan, tentang penderitaan yang berterusan sekarang di Lubnan, " ujar Von Arx.

Beliau berkata keutamaan ICRC adalah penghantaran bantuan dan menyokong sektor kesihatan yang sudah dilanda krisis ekonomi dan membantu menubuhkan unit trauma di Beirut dan di timur Lubnan.

Von Arx menambah bahawa ICRC kini menghadapi masalah memberi perkhidmatan di selatan Lubnan.

"Sangat sukar untuk sampai ke sana," katanya.

Pada hari serangan Israel di timur Lubnan, seorang pemandu tercedera ketika konvoi misi bantuan.

"Sukarelawan harus dihormati, mesti dihormati, supaya mereka boleh melakukan kerja penting mereka," kata Von Arx.- AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI