fb fb fb fb fb

ICRC gesa penderitaan Gaza dihentikan

Foto AFP

GENEVA, 29 Oktober - Presiden Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) pada Sabtu menyeru semua pihak untuk bertindak menghentikan penderitaan manusia yang "tidak dapat ditanggung" oleh orang awam di Semenanjung Gaza.

“Ini adalah kegagalan besar yang tidak boleh diterima oleh dunia,” kata Mirjana Spoljaric, ketika Israel mengisytiharkan perangnya ke atas Hamas telah “memasuki fasa baharu” dengan pengeboman secara besar-besaran ke atas Semenanjung Gaza.

"Saya terkejut dengan tahap penderitaan manusia yang tidak dapat ditanggung dan menggesa pihak yang terlibat dalam konflik untuk meredakan kemelut sekarang," katanya.

“Kehilangan tragik banyak nyawa orang awam amat menyedihkan.

"Adalah tidak boleh diterima bahawa orang awam tidak mempunyai tempat yang selamat untuk pergi di tengah-tengah pengeboman besar-besaran, dan dengan kepungan tentera, tiada tindak balas kemanusiaan yang mencukupi pada masa ini boleh dilakukan," tambah Spoljaric.

Spoljaric bercakap beberapa jam selepas Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres mengkritik dengan keras "peningkatan yang belum pernah terjadi sebelumnya" pengeboman ke atas Gaza, dan menggesa gencatan senjata "segera".

Tentera Israel pada Sabtu memberi amaran kepada penduduk di utara Gaza, bahawa kawasan itu kini menjadi "medan pertempuran" dan mengarahkan mereka "berpindah dengan segera" ke selatan.

Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Volker Turk memberi amaran pada Sabtu bahawa terdapat potensi untuk beribu-ribu lagi orang awam mati jika Israel melancarkan serangan darat besar di Gaza.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN